KABONG: Semua penyedia perkhidmatan Internet yang menggunakan menara telekomunikasi di Kabong disaran mempunyai pelan alternatif bersama bagi mengelakkan gangguan capaian apabila berlaku masalah teknikal seperti terputus bekalan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka Mohamad Duri berkata, pendekatan kolaboratif penting memandangkan Internet kini menjadi keperluan asas dalam urusan pendidikan, perniagaan dan komunikasi seharian.
Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sektor Utiliti dan Telekomunikasi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), gangguan yang berpanjangan bukan sahaja menjejaskan pengguna, malah menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak.
“Saya difahamkan apabila terputus bekalan elektrik, operasi menara telekomunikasi akan bergantung kepada penggunaan bateri yang mampu bertahan selama tiga hingga empat jam sahaja.
“Tempoh itu sangat singkat untuk Sarawak Energy Berhad (SEB) memulihkan kembali bekalan elektrik yang terputus. Maknanya sambungan telekomunikasi (Internet) akan hilang.
“Kita memerlukan sistem sokongan bersama yang lebih sesuai dan ini memerlukan komitmen penyedia rangkaian yang menggunakan menara tersebut,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
“Mungkin menyediakan set generator apabila gangguan bekalan elektrik berlaku agak lama dan tidak bergantung kepada sistem bateri.
“Saya percaya masalah capaian Internet boleh ditangani lebih cepat melalui perkongsian sumber.
“Langkah ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan liputan digital yang stabil dan inklusif di kawasan luar bandar seperti Kabong serta sekitarnya,” tambahnya.
Beliau terdahulu mengadakan lawatan ke menara telekomunikasi Sacofa di Kabong.
Hadir sama wakil ADUN Kabong, BDDA, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SEB), Telekom, Sacofa serta penyedia rangkaian iaitu pihak CelcomDigi, UMobile dan Maxis.




