Penyewa dan anjing peliharaan ditemui mati

KUCHING: Seorang lelaki berusia 51 tahun ditemui mati di bilik air rumah yang disewanya di Jalan Song pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, bertindak atas maklumat seorang pemanggil yang memberitahu terdapat seekor anjing mati di perkarangan rumah milik majikannya yang disewakan kepada mangsa.

“Kemudian, pemilik cuba menghubungi penyewa tetapi gagal sebelum meminta bantuan daripada pihak polis.

“Polis bersama-sama dengan pegawai perubatan dan pihak bomba telah masuk ke rumah serta naik ke tingkat atas telah menemui mayat seorang lelaki di bilik air rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Awang Din, mangsa yang merupakan pembekal sayuran di pasar raya telah menyewa rumah terbabit selama 12 tahun.

“Punca kematian masih dalam siasatan pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) yang turut dibuat saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dapat dijalankan.

“Sementara itu, bangkai anjing dihantar ke Makmal Vetarina di Muara Tuang untuk mengetahui punca kematiannya,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Barang milik peribadi mangsa seperti dompet, wang tunai dan telefon bimbit didapati masih ada di tempat kejadian.

“Polis juga menemui beberapa bungkusan ubat milik mangsa ditempat kejadian,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan masih dalam siasatan.