DAVOS: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa sebagai rakan yang berpandangan jauh serta boleh dipercayai dalam peralihan global ke arah ekosistem industri yang berdaya tahan, rendah karbon dan inklusif, sekali gus membuka laluan kepada kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam di bawah inisiatif transformasi industri Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Perkara itu dizahirkan sempena Mesyuarat Tahunan WEF 2026, apabila Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, dipilih sebagai ahli panel bagi sesi bertajuk “Industrial Clusters as Engines of Transformation” yang berlangsung di DP World House, Davos, Switzerland, pada Selasa.
Sesi berkenaan menghimpunkan penggubal dasar global dan pemimpin industri bagi membincangkan peranan kluster industri dalam meningkatkan daya tahan ekonomi, menyokong peralihan tenaga serta membina ekosistem industri yang bersedia menghadapi masa hadapan dalam landskap rantaian bekalan global yang sentiasa berubah.
Dalam sesi itu, Dr Muhammad Abdullah berkongsi pengalaman Sarawak dalam memajukan Kluster Industri Bintulu dengan menekankan pendekatan pembangunan bersepadu yang menyelaraskan infrastruktur, bekalan tenaga, logistik serta perancangan industri di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.
Beliau turut menggariskan usaha Sarawak memacu pertumbuhan industri rendah karbon menerusi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak serta Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030, yang secara kolektif membimbing agenda ekonomi dan kelestarian jangka panjang negeri.
Selain itu, Dr Muhammad Abdullah menekankan kepentingan mengekalkan tahap amalan tadbir urus yang baik, integriti serta ketelusan yang tinggi dalam memastikan kelestarian pembangunan industri.
Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Abang Ahmad Abang Morni, serta Ketua Bahagian Pembangunan Korporat dan Ekonomi MEESty, Dr Kho Lip Khoon.


