KUCHING: Pengamal media berperanan menjadi wadah pencetus pembentukan minda masyarakat di samping menjadi ejen kepada negara dalam mendidik orang ramai.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak, Tan Phang Chia berkata, masyarakat bukan hanya membaca dan melihat maklumat dipaparkan media semata-mata, tetapi turut menyedarkan masyarakat dengan isu pembangunan insan dan negara.
“Itu adalah fungsi peranan media iaitu mencorak minda; mewujudkan budaya; menyemai nilai dan apa saja yang terbaik dalam pembangunan masyarakat.
“Jadi atas kapasiti itu juga peranan media sangat penting, khususnya dalam membawa berita-berita atau maklumat penting yang membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Libat Urus dan Jalinan Mesra PERKESO Bersama Media 2024 yang dihadiri Ketua Pegawai Bahagian Komunikasi & Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely di Raiaa Hotel di sini, petang tadi.
Malah Tan turut menyifatkan pengamal media sebagai wira yang tidak didendang susulan turut menyumbang kepada pembangunan negara.
“Sebagai contoh ketika COVID-19 melanda negara sebelum ini, pengamal media antara barisan hadapan yang menyampaikan berita-berita mengenai penularan COVID-19, berita semasa dan sebagainya.
“Hakikatnya jika pengamal media tiada, masyarakat tidak akan mengetahui kes-kes yang berlaku, berita terkini dan sebagainya.
“Itu adalah antara bukti kepentingan pengamal media kepada negara,” jelasnya.
Pada majlis itu, Roshaimi turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pengamal-pengamal media yang hadir.



