MIRI: Aktiviti perarakan sempena Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri bagi tahun 1448H/2026M dibatalkan dan digantikan dengan majlis perhimpunan di Miri Indoor Stadium, Selasa ini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pembatalan itu membabitkan aktiviti perarakan serta lokasi asal program di Dewan Suarah Miri.
Menurutnya, program berkenaan bagaimanapun tetap diteruskan menerusi Majlis Perhimpunan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri di Miri Indoor Stadium pada 25 Ogos 2026.
“Program akan berlangsung pada Selasa, 12 Rabiulawal 1448H bersamaan 25 Ogos 2026, bermula jam 7 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan pembatalan aktiviti perarakan, semua rancangan penutupan dan lencongan jalan awam yang dijadualkan sebelum ini turut dibatalkan.
Katanya, aliran lalu lintas di sekitar bandar raya Miri akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang sekatan jalan bagi tujuan perarakan.
Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan pengunjung yang menghadiri majlis di Miri Indoor Stadium supaya meletakkan kenderaan di kawasan tempat letak kereta yang disediakan secara teratur.
“Pengunjung dinasihatkan supaya tidak menghalang laluan awam di sekitar kawasan stadium,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai mematuhi arahan pegawai polis bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang majlis berlangsung.


