ARTIKEL

Iskandar bersama Mohamed Nizam serta pihak berkepentingan lain semasa perbincangan khas penempatan sementara mangsa kebakaran di Kampung Sebuan Besar Jepak.

Perbincangan Khas Bincang Cadangan Penempatan Mangsa Kebakaran Kampung Sebuan Besar di PPR Bandaria

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Isu penempatan sementara bagi mangsa kebakaran Kampung Sebuan Besar, Jepak menjadi fokus utama dalam satu perbincangan khas yang diadakan di Pejabat Daerah Bintulu pada Jumaat.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohamed Nizam Awang Ali Bohan itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi meneliti dan membincangkan secara terperinci cadangan menempatkan enam keluarga yang terjejas, membabitkan 26 orang penghuni, ke unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria, Jalan Ulu Sebauh.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu, Ng Kheng Hong; Penghulu Idil Ismail; Ketua Kaum Kampung Sebuan Besar, Sauni Sibi; serta wakil Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Antara perkara yang dibincangkan termasuk kesesuaian unit kediaman di PPR Bandaria untuk dijadikan penempatan sementara, keperluan logistik, kemudahan asas serta sokongan sosial dan pendidikan kepada keluarga mangsa.

Perwakilan HDC turut membentangkan beberapa pertimbangan teknikal dan opsyen penempatan, manakala pihak Pejabat Daerah Bintulu memberi jaminan untuk menyelaras tindakan susulan bersama agensi-agensi berkaitan.

Dalam perbincangan tersebut, ADUN Jepak Iskandar Turkee menegaskan keperluan mendesak untuk menyediakan tempat tinggal yang selamat dan kondusif kepada semua mangsa kebakaran sementara pelan jangka panjang dirangka.

Pegawai Daerah Bintulu menyeru semua pihak agar bekerjasama dan memberikan keutamaan terhadap penyelesaian yang cepat dan praktikal demi kebajikan penduduk yang terkesan.

Sesi perbincangan berakhir dengan beberapa cadangan tindakan disepakati, termasuk penilaian lanjut terhadap infrastruktur sedia ada di PPR Bandaria serta perincian sokongan yang diperlukan sebelum penempatan dilaksanakan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU