KUCHING: Lima lelaki tempatan ditahan setakat ini berhubung siri kejadian pembakaran kedai serbaneka di beberapa daerah di Sarawak, manakala polis sedang mengesan lapan lagi individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, kelima-lima lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes khianat dengan api yang membabitkan beberapa premis perniagaan.
“Polis sedang mengesan lapan lagi individu yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.
Antara individu yang dikesan ialah Kho Tze Yang, yang dikenali sebagai Ah Yang; Tan Siong Seng (Ah Ben); Tan Seng Ming (Andrew); dan Kho Tze Hong (Ah Hong).
Turut disenaraikan ialah Alvin Chung Jia Hao (Alvin), Iwan yang dikenali sebagai Iwan Indon, William Ong Wei Liang (William) serta Chai Chuan Soon (Chai Soon).
Dalam perkembangan berkaitan, perebutan perniagaan dipercayai menjadi antara motif yang sedang diteliti polis dalam siasatan kes khianat dengan api berkenaan.
Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sehingga siasatan menyeluruh selesai dijalankan.
Sehubungan itu, Saifullizan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lapan individu berkenaan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Tan Chiang Fook, menerusi talian 018-2628805.
Maklumat juga boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa memperoleh petunjuk baharu untuk mengesan individu terbabit serta melengkapkan siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi membantu polis mendapatkan maklumat berkaitan kejadian itu dan melengkapkan siasatan,” katanya.


