SIBU: Pergaduhan lima lelaki gara-gara hutang hingga kejar mengejar di tempat awam, akhirnya meragut nyawa seorang lelaki warga emas di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdahulu pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.45 pagi yang memaklumkan pergaduhan menggunakan senjata di Lorong Wong King Howe.
Bertindak atas maklumat awam, katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah ke tempat kejadian.
“Sampai di tempat kejadian, mendapati terdapat seramai lima orang lelaki warga tempatan yang berumur lingkungan 17 tahun hingga 30 tahun sedang bergaduh.
“Pihak polis kemudiannya membuat tangkapan ke atas semua suspek dan membuat rampasan terhadap dua buah kenderaan iaitu jenis Toyota Lexus dan Perodua Alza serta senjata yang digunakan seperti dua bilah senjata jenis Kwantao dan sebatang rotan,” katanya.
Menurut Zulkipli, kesemua suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Balai Polis Sentral Sibu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati.punca kejadian adalah disebabkan masalah hutang di antara kedua pihak.
Sebelum berlaku pergaduhan, jelas beliau, telah berlakunya aksi kejar mengejar diantara dua buah kenderaan yang dinaiki saspek.
“Akibat daripada itu, salah sebuah kenderaan suspek telah melanggar seorang penunggang motosikal di Jalan Alan, Sibu dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 71 tahun.
“Kesemua suspek telah ditahan reman polis selama tiga hari sehingga 27 Oktober 2023 bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin, Benzo dan MOP,” kata beliau.
Zulkipli menegaskan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Jika disabitkan kesalahan, tegasnya lagi, boleh pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kemalangan dan menyebabkan kematian, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.
“Pihak polis menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kejadian kerana kes ini hanya melibatkan tuntutan hutang antara kedua-dua pihak,” jelas beliau.
Beliau menambah bahawa pihak polis memandang serius kejadian seumpama ini dan akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang terhadap mana-mana individu yang menimbulkan kekacauan dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

