ARTIKEL

Datuk Seri Lee Kim Shin.

Pergerakan pesawat Sarawak meningkat 7.14% suku pertama 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau apabila merekodkan pertumbuhan positif dalam pergerakan pesawat dan penumpang sepanjang suku pertama tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, setakat suku pertama tahun in, Sarawak merekodkan sebanyak 34,758 pergerakan pesawat, meningkat 7.14 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Pergerakan penumpang juga meningkat kepada 2.8 juta orang, iaitu pertumbuhan sebanyak 9.58 peratus berbanding tempoh sama pada 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sarawak kini mencatat purata 46 penerbangan antarabangsa mingguan serta 533 penerbangan domestik mingguan dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Dalam negeri pula, sebanyak 670 penerbangan mingguan menghubungkan bandar utama dan kawasan pedalaman menerusi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Rangkaian antarabangsa Sarawak turut diperkukuh dengan pelancaran penerbangan sewa khas berjadual terus Guangzhou-Kuching oleh Batik Air bermula 18 Mac lalu, selain laluan Haikou-Kuching yang dikendalikan 9Air.

“Kerajaan Sarawak akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi berkaitan bagi menarik lebih banyak laluan antarabangsa terus ke Sarawak.

“Usaha ini penting dalam meletakkan Sarawak sebagai hab transit penerbangan yang semakin berkembang di rantau ini,” jelasnya.

Menurutnya, AirBorneo akan terus melaksanakan tanggungjawab mengendalikan RAS di Sarawak, Sabah dan Labuan di bawah kerangka Public Service Obligation (PSO).

Perkhidmatan itu penting bagi memastikan masyarakat luar bandar dan pedalaman terus menikmati akses pengangkutan udara terutama di laluan yang tidak berdaya maju secara komersial.

“RAS bukan perkhidmatan penerbangan komersial biasa kerana ia berteraskan tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata AirBorneo turut merancang memperluaskan operasinya secara berperingkat sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.

Menurutnya, AirBorneo bercadang menyewa tiga pesawat Boeing B737-800NG bagi memulakan perkhidmatan jet sulung menjelang suku ketiga 2026 tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan kesiapsiagaan operasi

Laluan yang dikenal pasti termasuk Kuching ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Jakarta dan Singapura, ujarnya.

Tambah Kim Shin lagi, sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, AirBorneo akan menawarkan pengalaman perjalanan lebih komprehensif termasuk pelbagai kelas kabin, perkhidmatan dalam penerbangan percuma, kemudahan bagasi terus dan akses lounge.

Mengulas isu tambang penerbangan, harga tiket ketika ini ditentukan menerusi mekanisme harga dinamik berdasarkan faktor permintaan pasaran, musim perjalanan, harga bahan api dan kos operasi.

“Ketika musim perayaan, cuti sekolah atau tempahan saat akhir, tambang biasanya meningkat apabila tiket tambang rendah habis dijual lebih awal.

“Justeru, orang ramai disaran merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi mendapatkan tambang lebih murah,” katanya.

Beliau turut mengakui kebimbangan rakyat terhadap kenaikan tambang penerbangan, namun menegaskan industri penerbangan global kini berdepan cabaran besar termasuk kenaikan kos operasi, kekurangan pesawat dan peningkatan harga bahan api susulan krisis di Timur Tengah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU