BINTULU: Penduduk di kawasan rumah panjang dan kampung-kampung DUN Jepak dinasihat agar sentiasa memeriksa serta menyelenggara sistem pendawaian elektrik di kediaman masing-masing bagi mengelakkan kejadian kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata pendawaian lama yang tidak diselenggara dengan baik berpotensi menjadi punca utama berlakunya kebakaran, selain faktor kecuaian.
“Saya nasihatkan semua penduduk, khususnya di rumah panjang dan kampung yang telah lama didiami, agar mendapatkan nasihat daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk melakukan pemeriksaan ke atas sistem pendawaian.
“Jika perlu, buat pendawaian semula bagi mengelakkan risiko kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran rumah panjang James Kalip, Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak–Kuala Tatau.
Kebakaran yang berlaku awal tengah hari tadi memusnahkan keseluruhan 20 pintu rumah panjang dan menyebabkan 120 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Menurut Iskandar, tindakan pantas pasukan bomba dari Bintulu dan Tatau berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak forensik bomba kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Kita bersyukur api dapat dikawal dengan cepat walaupun kedudukan kawasan ini agak jauh. Pihak PDRM, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat ADUN Jepak juga telah menggerakkan bantuan segera kepada semua mangsa,” ujarnya.
Iskandar turut menasihatkan masyarakat agar menubuhkan pasukan bomba sukarelawan di setiap komuniti rumah panjang dan kampung bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum bantuan tiba.
“Latihan dan kesedaran ini penting supaya penduduk tahu cara bertindak sekiranya berlaku kebakaran. Ia boleh membantu mengurangkan kerugian dan menyelamatkan nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan Pejabat Daerah Tatau bagi menyelaras bantuan termasuk peruntukan untuk membina semula rumah panjang yang musnah.
Beliau juga mengarahkan Tuai Rumah James Kalip supaya mengenal pasti pelajar yang akan menduduki SPM dan STPM serta penduduk yang mempunyai rekod kesihatan bagi memudahkan urusan penggantian dokumen dan bekalan ubat.
“Bantuan akan tetap diberikan sama ada mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau kekal di kawasan sementara. Yang penting, tiada mangsa terpinggir daripada bantuan,” ujarnya.






