ARTIKEL

NURSYARMILLA (duduk tengah) bergambar dengan para peserta program tersebut.

Perinci peranan hadapi kecemasan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Semua agensi berkaitan pengurusan bencana diingatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara menyeluruh dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.

Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, pendekatan yang lebih proaktif, tersusun dan bersepadu perlu diamalkan bagi memastikan setiap kemungkinan bencana dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Menurutnya, perancangan awal serta penyelarasan antara agensi adalah elemen penting dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan.

“Tindakan tidak seharusnya hanya diambil selepas bencana berlaku, sebaliknya persediaan rapi perlu dilakukan lebih awal,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Nursyarmilla Jeruis pada Latihan Table Top Sibu (Latihan Bencana) di sini, kelmarin.

Mohamad Porkan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) menjelaskan, latihan tersebut berperanan sebagai platform simulasi berasaskan perbincangan bagi memperincikan peranan serta tindak balas agensi strategik ketika menghadapi kecemasan.

Katanya, para peserta didedahkan kepada pelbagai senario yang menguji keupayaan membuat keputusan, kecekapan komunikasi serta tahap koordinasi antara agensi terlibat.

“Perbincangan yang diadakan menggambarkan cabaran sebenar yang mungkin berlaku pada bilabila masa. Justeru, persediaan awal amat penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Porkan menyeru semua agensi agar terus memperkukuh kerjasama dengan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah dan bahagian.

Tambahnya, beberapa aspek utama perlu diberi perhatian termasuk semakan dan pengemaskinian pelan tindakan bencana, kesiapsiagaan logistik seperti pusat pemindahan sementara, peralatan menyelamat dan bekalan asas, serta pengukuhan sistem komunikasi bagi mengelakkan kekeliruan maklumat.

Beliau turut menekankan kepentingan latihan dan simulasi secara berkala bagi memastikan setiap pegawai memahami peranan masing-masing dengan jelas.

Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara Arjunaidi Ismail antara yang hadir.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU