ARTIKEL

Perjalanan Kuching-Sibu dijangka hanya dua jam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Tempoh perjalanan dari Kuching ke Sibu dijangka dipendekkan kepada hanya dua jam menerusi rangkaian Jalan Utama Kedua dan Lebuh Raya Pesisir yang sedang dibangunkan Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jaringan jalan baharu itu dijangka mengurangkan jarak perjalanan sebanyak kira-kira 140 kilometer, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan kawasan pesisir dengan bandar-bandar utama.

“Dari Sebuyau kita bangunkan Jalan Utama Kedua ke Sri Aman. Dari Lingga pula kita membina jalan terus ke Betong dan satu lagi laluan ke Roban sebelum bersambung ke Sarikei dan Sibu.

“Apabila keseluruhan rangkaian ini siap, jarak perjalanan menjadi hanya sejauh 212 kilometer dengan pengurangan sekitar 140 kilometer.

“Maknanya dari Kuching ke Sibu menggunakan jalan baharu hanya mengambil masa dua jam,” katanya pada Majlis Makan Malam bersama Ketua Masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang, di sini, malam tadi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Makan Malam bersama Ketua Masyarakat Bahagian Sibu sempena Program Sarawakku Sayang di Sibu, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan rangkaian jalan itu akan menghubungkan Sibu dengan Kuching serta Sri Aman dan Betong dengan lebih cekap, sekali gus mempercepatkan pergerakan penduduk, barangan dan aktiviti ekonomi.

“Sibu juga akan dihubungkan dengan Tanjung Embang dalam tempoh kira-kira satu setengah jam”

“Ini bermakna akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta pelabuhan laut dalam yang sedang dibangunkan di Tanjung Embang akan menjadi lebih mudah,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai konvoi bermotosikal selepas merasmikan Jambatan Batang Lupar I pada Khamis, Abang Johari berkata perjalanan itu memberinya peluang meninjau sendiri keadaan rangkaian jalan yang menghubungkan kawasan pesisir Sarawak.

“Saya menaiki motosikal selepas merasmikan Jambatan Batang Lupar. Saya melalui Meludam, berhenti di Pusa sebelum meneruskan perjalanan ke Sarikei dan akhirnya tiba di Sibu.
“Melalui perjalanan ini saya dapat melihat sendiri keadaan jalan serta tahap kesalinghubungan antara kawasan luar bandar yang kini semakin baik,” jelasnya.

Jambatan Batang Lupar I sepanjang 4.84 kilometer merupakan jambatan menyeberangi sungai terpanjang di Malaysia dan menjadi komponen penting pembangunan Lebuh Raya Pesisir Sarawak yang menghubungkan kawasan pesisir negeri ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU