PADA 12 Disember 2015, dunia menyaksikan sejarah penting apabila Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dimeterai oleh 195 negara di bawah Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
Perjanjian ini menandakan usaha kolektif terbesar dalam menangani krisis iklim global, dengan matlamat utama mengehadkan peningkatan suhu dunia kepada kurang daripada dua darjah Celsius berbanding paras praindustri, dan berusaha mengehadkannya kepada 1.5 darjah Celsius.
Perjanjian Paris memperkenalkan mekanisme fl eksibel yang membolehkan setiap negara menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon sendiri melalui Nationally Determined Contributions (NDC).
Ia juga menekankan kepentingan pembiayaan iklim, teknologi dan pembangunan kapasiti bagi negara membangun, sekali gus memastikan usaha mitigasi dan adaptasi dijalankan secara inklusif dan berkesan.
Komitmen global ini menekankan kerjasama antara negara maju dengan negara membangun, serta pelibatan sektor swasta dan masyarakat sivil.
Ia menjadi landasan bagi dasar, strategi dan inovasi dalam bidang tenaga bersih, pengurusan sumber semula jadi dan ekonomi rendah karbon.
Perjanjian Paris bukan sahaja simbol kesedaran kolektif terhadap risiko iklim, malah membuka jalan kepada tindakan konkrit di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ia menunjukkan bahawa perubahan iklim bukan isu semata-mata saintifi k atau politik, tetapi tanggungjawab bersama seluruh umat manusia.
Melalui pemeteraian ini, dunia menegaskan bahawa masa depan planet bergantung kepada tindakan bersama hari ini, sekali gus memberi harapan bahawa pembangunan lestari dan perlindungan alam sekitar boleh berjalan seiring dengan kemajuan ekonomi dan sosial.



