KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa perkahwinan antara warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak mengubah keturunan asal warga asing tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara tidak akan membuat penentuan keturunan bagi warga asing terbabit kerana status mereka kekal mengikut asal usul masing-masing.
Saifuddin Nasution turut menafikan laporan media yang mengelirukan berhubung isu tersebut dan menggesa orang ramai agar merujuk jawapan rasmi beliau di Dewan Rakyat bagi mendapatkan gambaran yang tepat.
Beliau menambah bahawa bagi anak yang lahir hasil perkahwinan sah tersebut, ibu atau bapa dibenarkan memilih untuk mendaftarkan keturunan kanak-kanak itu mengikut keturunan ibu atau bapa mereka.
Dalam jawapan kepada pertanyaan Pang Hok Liong, beliau menegaskan bahawa status bumiputera tidak diberikan secara automatik kepada warga asing yang berkahwin dengan warganegara Malaysia berbangsa Melayu seperti dilapor Bernama.

