KAPIT: Perkampungan Nanga Engkuah, Ulu Katibas, Song di sini bakal berwajah baharu apabila ia dinaik taraf di bawah projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata skop kerja yang ditetapkan dan dipersetujui meliputi lima projek fizikal.
Ia merangkumi pembinaan jambatan pejalan kaki, pemasangan lampu solar dan kerja naik taraf pondok menunggu di jeti serta laluan pejalan kaki yang menghubungkan tiga rumah panjang.
“Projek ini dijangka bermula pada Ogos ini dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan untuk disiapkan.
“Apabila projek ini siap, ia akan dapat memartabatkan perkampungan Nanga Engkuah ke arah pembangunan yang lebih mampan dan holistik serta memberikan keselesaan kepada penduduk kampung pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada dua kontraktor yang terpilih untuk mengendalikan pelaksanaan projek KAM KKR itu.
Alexander, yang juga Ahli Parlimen Kapit, menambah pelaksanaan projek-projek itu akan membawa manfaat kepada penduduk kampung.
Menurutnya, keadaan jambatan sedia ada yang merupakan laluan penghubung di antara rumah panjang berada dalam keadaan usang.
“Pemasangan lampu jalan juga amat diperlukan oleh penduduk kampung kerana tidak mempunyai lampu jalan untuk menerangi kawasan kampung pada waktu malam,” katanya.
Pemilihan Perkampungan Nanga Engkuah bagi projek kampung angkat seperti yang dicadangkan oleh KKR telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Nanga Engkuah adalah perkampungan rumah panjang di kawasan pedalaman yang terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song.
Ia hanya boleh diakses melalui jalan sungai yang mengambil masa tiga jam dari Pekan Song, bergantung kepada cuaca dan paras air.
Terdapat tiga buah rumah panjang di kampung itu, iaitu Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong, dengan jumlah penduduk seramai 658 orang yang majoriti adalah etnik Iban.
Kegiatan ekonomi tempatan penduduk kampung termasuk pekerjaan dalam sektor awam dan swasta, penternakan kecil-kecilan dan perikanan.
Sekolah Kebangsaan Nanga Engkuah, Klinik Kesihatan Nanga Engkuah dan sebuah substesen pertanian terletak tidak jauh dari kampung berkenaan.


