KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo menerima pujian daripada bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee atas pengurusan perkhidmatan di kaunter dan operasi di Lapangan Terbang Lahad Datu yang disifatkan cekap, mesra dan menunjukkan penambahbaikkan ketara.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, beliau menerima pujian itu menerusi hantaran mesej yang dikirim Teck Lee kepadanya.
“Selamat pagi. Pejabat AirBorneo dan perkhidmatan kaunter di Lahad Datu, Lapangan Terbang Lahad Datu adalah cekap dan mesra, (disertakan emoji dengan senyuman yang lebar). Saya berada di sana untuk membeli tiket warga emas. Banyak penambahbaikan. Terima kasih dan teruskan usaha yang baik,” katanya menerusi mesej tersebut yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Sehubungan itu Kim Shin merakamkan ucapan terima kasih kepada kakitangan AirBorneo yang sangat berdedikasi.
“Seperti yang anda tahu, AirBorneo baru sahaja bermula. Banyak perkara masih perlu dipelajari dan kita akan terus belajar, menambah baik serta mencapai kecemerlangan,” ujarnya.


