ARTIKEL

Fatimah menerima cenderamata berupa lukisan reka bentuk konsep Pusat Kebudayaan Muslim Cina Sarawak daripada Mortadha.

PERKTHIS bakal bangunkan Pusat Kebudayaan Muslim Cina Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebuah Pusat Kebudayaan Muslim Cina Sarawak dengan anggaran kos RM15 juta kini dalam peringkat awal perancangan pembangunan sebagai inisiatif memperkukuh identiti dan kebersamaan komuniti berkenaan di Sarawak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata projek berkenaan bakal dibangunkan oleh Persatuan Tiong Hua Islam Sarawak (PERKTHIS) di atas tanah yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak.

“Tapaknya terletak di Plot A dan B, Lot 4672, 4673, Blok 18, Daerah Tanah Salak, Jalan Bako, berhampiran Yayasan Budaya Melayu dan Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat PERKTHIS di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Fatimah (duduk tengah) bersama delegasi PERKTHIS semasa kunjungan hormat ke pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.

Menurutnya, PERKTHIS telah mengambil langkah awal yang proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa teknikal khusus lengkap dengan komponen serta objektif projek berkenaan yang menunjukkan kesungguhan PERKTHIS dalam menjayakannya.

Dalam kunjungan tersebut, Fatimah turut menerima pelantikan sebagai penaung kepada pembangunan pusat kebudayaan berkenaan.

“Inisiatif ini sangat menarik kerana pusat ini bukan sahaja menjadi pusat dakwah bil hal kepada masyarakat Muslim Cina yang ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam, malah turut berfungsi sebagai rumah transit bagi individu memerlukan perlindungan sementara.

“Lebih penting, pusat ini bakal menjadi jambatan silang budaya dan agama yang menyokong dasar kerajaan memupuk perpaduan sosial melalui pendekatan inklusif serta pengiktirafan terhadap kepelbagaian kaum dan agama dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Mengulas lanjut, Fatimah menyarankan agar naratif pembangunan pusat itu turut menampilkan elemen sejarah yang menceritakan perjalanan komuniti Cina-Muslim di Sarawak.

Fatimah turut mengakui bahawa cabaran utama kini adalah mendapatkan peruntukan mencukupi untuk membiayai pembinaan pusat tersebut, memandangkan anggaran RM15 juta itu belum termasuk kos bahagian dalaman bangunan.

“Bagaimanapun, saya optimis terhadap kelangsungan projek ini kerana Presiden PERKTHIS, Mortadha Lau Abdullah telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi mendapatkan sokongan dana,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU