BELAGA: Program AgriCOP dan Nai Nemuai Birami (NNB) terus menjadi wadah memperkukuh pembangunan sektor pertanian, merancakkan sosioekonomi serta merapatkan hubungan antara kerajaan dengan komuniti di Sungai Asap.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setiap program pembangunan yang dilaksanakan perlu menghasilkan impak nyata kepada masyarakat, khususnya dalam membuka peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Katanya, pelaksanaan sesuatu perancangan perlu disusuli hasil yang mampu memberi manfaat kepada rakyat, selain menyumbang kepada kemajuan sektor pertanian dan ekonomi setempat.

“Setiap kali ada rancangan dan majlis yang kita laksanakan, kita mahu melihat hasil yang dapat memberi manfaat serta menambah baik sektor pertanian dan sosioekonomi masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan AgriCOP dan Majlis Perasmian Nai Nemuai Birami 2026 di Dewan Lamin Adet Bangen Kimet Uma Baha Sungai Asap, di sini, semalam.
Menurutnya, pendekatan turun padang penting bagi membolehkan kerajaan memahami keperluan dan aspirasi masyarakat secara lebih dekat sebelum merancang pembangunan yang bersesuaian dengan keadaan setempat.
“Kita perlu turun ke lapangan untuk melihat sendiri keperluan masyarakat, memahami aspirasi mereka dan menilai keadaan kehidupan yang sebenar,” ujarnya.
Beliau berkata, pembangunan Sungai Asap tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal, sebaliknya perlu turut memberi penekanan kepada pengukuhan sektor pertanian dan pewujudan lebih banyak peluang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat secara berterusan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, penganjuran NNB bukan sekadar program hiburan, malah menjadi jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, masyarakat dengan masyarakat serta warisan budaya dengan generasi masa hadapan.
Katanya, penganjuran NNB di Sungai Asap tahun ini menerusi enam saluran etnik Dayak RTM Sarawak, iaitu WAIfm Iban, WAIfm Bidayuh, Perkhidmatan Kayan, Kenyah, Bisaya dan Lun Bawang, menjadi medan menyatukan budaya, bakat dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Beliau berkata, RTM Sarawak melalui peranan media awam turut membantu mengetengahkan produk komuniti, makanan tradisional, kraftangan tempatan serta bakat generasi muda bagi mempromosikan potensi masyarakat luar bandar.
Program berkenaan merupakan kerjasama strategik RTM Sarawak menerusi WAIfm bersama Jabatan Pertanian yang dilaksanakan sejak 2022 menerusi penganjuran Aco Lepau Ajau Birami Gawai.
Penganjuran tahun ini memberi peluang kepada masyarakat Orang Ulu menjadi tuan rumah dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan warisan dan identiti masyarakat Kenyah serta Kayan.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Micheal Mujah Lihan, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Sirai Daha, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Thomas Balan Bang, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, Pengurus WAIfm Iban, Monica Midi mewakili Pengarah Penyiaran Sarawak serta ketua masyarakat, ketua kaum dan ketua-ketua jabatan.


