KUCHING: Usaha memperkasa Radio Kayan harus diperkukuh bagi memastikan bahasa dan budaya masyarakat Kayan di Sarawak terus dipelihara.
Menurut ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, menyifatkan bahasa Kayan bukan sekadar alat komunikasi, malah melambangkan identiti, sejarah serta jiwa masyarakat Kayan di negeri Sarawak.
“Penggunaan bahasa Kayan yang semakin berkurangan dalam kalangan generasi muda amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang bernilai tinggi itu tidak dilupakan.
“Jika isu ini tidak diberi perhatian sewajarnya, kita bimbang warisan budaya ini akan semakin terhakis dan akhirnya dilupakan,” katanya.
Beliau berkata dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan Sarawak melalui agensi berkaitan memperkukuh perkhidmatan Radio Kayan menerusi beberapa langkah strategik, termasuk menambah tenaga kerja dan pembangunan bakat penyiaran dalam kalangan masyarakat Kayan sendiri.
Selain itu, beliau turut berharap lebih ramai penyampai radio dan bakat seni media daripada komuniti Kayan diberikan peluang untuk mengetengahkan bakat mereka dalam industri penyiaran.


