Perkukuhkan hubungan IPT dengan komuniti

MUKAH: Sekolah Kebangsaan (SK) Mukah, SK Agama dan tadika di sini menerima 550 pelitup muka yang disumbangkan oleh JMSK Politeknik Mukah.

Ia disempurnakan oleh Pengarah Politeknik Mukah, Dullah Muluk dan Guru Besar SK Mukah Burhanuddin Kaderi, Guru Besar SK Agama Mukah Nazri Mohtar.

Manakala untuk tadika, ia diserahkan di tadika masingmasing melalui Mazalina Jali, Guru Besar PASTI Al-Wafi Cawangan Mukah, Tiong Mee Chuo Guru Besar 3Q MRC Cawangan Mukah, Izzati Mahali Pemaju Masyarakat Taska S29 dan Taska Permata Kemas Politeknik Mukah.

Pengagihan ini sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR), anjuran Jabatan Matematik, Sains & Komputer. Ia bertujuan merapatkan hubungan Jabatan Matematik Sains & Komputer (JMSK) khususnya Politeknik Mukah (PMU) dengan komuniti setempat.

Menurut Dullah, program ini adalah usaha JMSK untuk meningkatkan kesedaran individu dan masyarakat terhadap penularan wabak Covid-19.

“Hubungan baik, kerjasama dan saling membantu antara institusi pengajian tinggi dengan sekolah amat dialu-alukan demi meningkatkan prestasi sekolah di Bahagian Mukah.

“Kita bersedia membantu apa sahaja dari segi teknikal atau tenaga kerja dalam pelbagai bidang kerana PMU mempunyai kemahiran tersendiri.

“Malah kita tidak ada halangan jika pihak sekolah memohon bantuan tunjuk ajar dalam akademik seperti matematik, sains dan komputer kepada pelajar.

“Matlamat utama program ini adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim dengan penduduk setempat serta kakitangan sektor awam di Mukah.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Politeknik Mukah, Iskandar Reduan, Ketua Jabatan Matematik, Sains & Komputer, Mohammad Fardillah Wahi.

Suara Sarawak