Perlu sokong e-LATiH

KUCHING: Kerajaan Sarawak perlu menyokong hab e-pembelajaran terbaharu iaitu e-LATiH untuk belia Sarawak.

Timbalan Presiden Persatuan Suara Pengguna Sarawak (Covas) Datuk Shamsudin Abdul Rahman berkata, ia bagi menggalakkan belia terutama lepasan SPM dan STPM yang tidak berjaya melanjutkan pendidikan tinggi ke kolej atau universiti tempatan untuk mengikuti kemahiran dan latihan e-LATiH.

“Dengan latihan kemahiran ini, ia akan memudahkan belia untuk mencari pekerjaan atau membuka perniagaan sendiri selepas ekonomi pulih daripada musibah Covid-19 nanti,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai e-LATiH yang diperkenalkan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) sebagai usaha membantu rakyat Malaysia dalam tempoh sukar memerangi Covid-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, platform itu membolehkan rakyat Malaysia membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses ratusan pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian rutin harian.

Justeru Shamsudin berkata, Covas mencadangkan inisiatif khas seperti bantuan sokongan dalam bentuk peralatan pendidikan atau elaun bagi menggalakkan belia mengikuti program yang sesuai dengan minat tanpa membebankan ibu bapa terutama daripada kumpulan B40 dan M40.

“e-LATiH boleh membantu 16 peratus ibu bapa daripada keluarga miskin di Sarawak untuk mendidik anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan kemahiran yang diperlukan menjelang 2030 supaya rakyat berpendapatan tinggi, sebagai mana harapan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.