KUCHING: Usaha Parti Demokratik Progresif (PDP) melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia perlu diteliti secara mendalam dengan mengambil kira sentimen di peringkat akar umbi serta tahap sokongan sebenar di lapangan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setiap keputusan politik perlu berasaskan kajian menyeluruh serta realiti semasa di lapangan.
Menurut beliau, pengalaman sebelum ini menunjukkan tidak semua usaha perluasan ke Semenanjung Malaysia mendapat penerimaan positif, termasuk cubaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang didakwa kurang mendapat sambutan.
“Landskap politik di Semenanjung Malaysia sangat berbeza berbanding Sabah dan Sarawak. Oleh itu, perkara ini perlu diteliti dengan it berhati-hati,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Bilik Media DUN Sarawak, hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, sebarang strategi perluasan perlu mengambil kira faktor demografi termasuk kewujudan komuniti Sarawak di kawasan tertentu seperti di Johor yang mempunyai jumlah rakyat negeri ini yang signifikan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pergantungan kepada faktor tersebut semata-mata mungkin tidak mencukupi sebagai asas kepada keperluan perluasan.
Memetik kenyataan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, parti itu kini memperluaskan jaringan organisasinya ke Semenanjung Malaysia menerusi pengembangan struktur di Selangor dan Johor.
Langkah itu katanya, dilihat sebagai usaha parti mendekati rakyat Sarawak yang menetap dan bekerja di Semenanjung tanpa mengetepikan perjuangan asas PDP.
“PDP yang ditubuhkan pada 2002 telah melalui pelbagai cabaran serta fasa perubahan sebelum menjalani penjenamaan semula pada 2017 bagi memperkukuh dan memperluaskan lagi jaringan parti.
“Penjenamaan semula itu bukan sekadar pertukaran nama sebaliknya bertujuan memastikan rakyat Sarawak di Semenanjung terus bersama perjuangan PDP,” katanya.


