ARTIKEL

Pihak penganjur dan para peserta merakam kenangan dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa Ke-11 2025 di PeTARY UNIMAS, di sini hari ini.

Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa 2025 himpun jurugambar dan pencinta alam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa Ke-11 2025 bukan sekadar perlumbaan fotografi, tetapi merupakan satu gerakan pendidikan dan pemuliharaan yang menjadikan katak sebagai simbol kesedaran biodiversiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, program itu merupakan satu inisiatif pemuliharaan yang inovatif kerana menghubungkan masyarakat, khususnya generasi muda dengan keunikan kehidupan amfibia.

Pemenang Kategori Spesies Terbanyak merakam gambar dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa Ke-11 2025 di PeTARY UNIMAS, di sini hari ini.

“Tahun ini, perlumbaan ini menghimpunkan jurugambar, penyelidik dan pencinta alam dari pelbagai sempadan di seluruh Borneo.

“Buat pertama kali, kategori terbuka diperkenalkan bagi menggalakkan pelbagai perspektif baharu dalam merakam kepelbagaian spesies amfibia sama ada menggunakan kamera profesional mahupun telefon bimbit yang menjadikan pemuliharaan lebih mudah diakses oleh semua,” katanya.

Tangkapan layar Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa Ke-11 2025 di PeTARY UNIMAS, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disiarkan menerusi rakaman video sempena Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Perlumbaan Katak Borneo Antarabangsa Ke-11 2025 di PeTARY UNIMAS, di sini hari ini.

“Hutan dan sungai kita menjadi habitat kepada spesies yang tidak ditemui di mana-mana tempat lain di muka bumi ini, tetapi khazanah ini sedang terancam akibat pembalakan, perubahan iklim dan juga kelalaian manusia.

“Justeru, melalui acara ini kita tidak hanya meraikan pemenang tetapi juga para peserta yang berani menyahut cabaran alam sekitar demi mendokumentasikan spesies katak di Borneo, termasuk spesies katak asli Sarawak dan sumbangan dalam bentuk data dan cerita amat bernilai serta mampu memberi inspirasi kepada orang lain,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi tentang pembentangan menarik oleh Profesor Dr Alexander Haas dari Jerman yang mengingatkan semua dengan tajuk, ‘Katak itu hebat, tetapi bagaimana pula dengan berudu?’

Sementara itu, pelajar sarjana UNIMAS, Nathaline Ping Wailyn turut menyampaikan satu sesi pembentangan bertajuk Menggali Lebih Dalam: Riwayat Hidup Limnonectes cintalubang Terancam – memaparkan proses dokumentasi dan kajian lapangan terhadap spesies terancam itu bersama pasukannya.

Mohd Hafiz Ali telah diumumkan sebagai pemenang Kategori Spesies Terbanyak dengan 33 spesies ditemui manakala tempat kedua dimenangi oleh Bob Zakaria, diikuti Mohd Affirul Faim Abdul Rahim di tempat ketiga dengan masing-masing turut merekodkan 33 spesies, namun kedudukan ditentukan berdasarkan urutan penghantaran.

Kategori Foto Terbaik (Telefon) dimenangi oleh Ng Jia Jie, diikuti Ak Mohd Shahrin Nizam Haisron di tempat kedua dan Simon Hiew Xi Zen di tempat ketiga.

Kategori Foto Terbaik (Kamera) pula dimenangi Bruce Teo, tempat kedua Oliver Ben dan ketiga Jason Teo, manakala Kategori Penemuan Paling Luar Biasa diberikan kepada Masliadi Asri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU