KUCHING: Pemohonan untuk Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) yang diperkenal melalui Inisiatif Penjana oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin baru-baru ini, kini dibuka sehingga 31 Oktober depan.
Pemohon digalak memiliki akaun bank untuk memudahkan proses bantuan.
Permohanan boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi Jabatan Pembangunan Wanita (https://www.jpw. gov.my/).
Borang permohonan boleh didapati di Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, sebanyak 8,057 ibu tunggal di seluruh Sarawak telah berdaftar dan layak untuk bantuan, namun masih ada sebahagian lagi yang belum didaftar.
“Bagi pemohon BKIT, mereka mestilah warga Malaysia dan menetap di negara ini serta mempunyai pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK semasa Sarawak) RM990 atau per kapita RM244.
“Pemohon tersebut juga haruslah ketua isi rumah dan mempunyai taraf perkahwinan, balu atau bercerai, atau mempunyai suami, tetapi sakit dan tidak mampu untuk bekerja, termasuklah tidak pernah berkahwin, tetapi mempunyai anak angkat,” katanya di Wisma Wanita di sini semalam.
Jelasnya bayaran bantuan berjumlah RM300 itu akan dikreditkan ke dalam akaun pemohon mulai Julai ini hingga November depan.
“Bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan dan kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri atas keprihatinan membantu sehingga ke akar umbi,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Dr Saadiah Abdul Samat berkata, tidak semua ibu tunggal layak menerima bantuan tersebut kerana ada kalangan mereka mampu berdikari dan mempunyai pendapatan.
Manakala Pengarah Bahagian Pelaksanaan Dasar Wanita Jabatan Pembangunan Wanita Ahmad Syaifulizan Zulkeefly menjelaskan, adalah amat digalakkan kepada pemohon memiliki akaun bank kerana ia membantu memudahkan proses penerimaan bantuan.
“Kita di kementerian ada pelan jangka masa panjang untuk membangunkan wanita melalui pelbagai program pembangunan wanita.
“Antaranya membantu mereka untuk menjadi usahawan berjaya, mempunyai kemahiran pengurusan kewangan, celik teknologi maklumat. “Kita mahu membawa wanita ke tahap yang lebih tinggi,”