ARTIKEL

Fatimah Abdullah ketika ditemu bual pada Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Dementia di Pusat Sokongan Sosial Komuniti Kuching (CSSC), di sini, hari ini.

Permohonan KGC boleh lulus satu bulan jika butiran maklumat tepat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu kelewatan pengurusan Kenyalang Gold Card (KGC) adalah disebabkan sistem maklumat yang diberikan oleh pemohon tidak tepat.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kelulusan permohonan KGC sebenarnya hanya mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan sahaja sekiranya maklumat yang diisi pemohon adalah tepat dan mengikut ketetapan dalam borang.

“Jadi salah satu sebab (kelulusan lambat) adalah nama di dalam borang yang diisi dengan kad pengenalan diri tidak sama, ada juga nombor telefon yang sudah ditukar tidak diketahui jadi semua ini memerlukan masa untuk diatur semula.

“Walau bagaimanapun, kita sedaya upaya menyelesaikan isu ini sebelum tamat tahun ini (bagi permohonan KGC 2024) dan seterusnya akan dihantar ke semua Pejabat Kebajikan Bahagian, para pemohon boleh membuat pemeriksaan di sana.

“Untuk makluman, proses kelulusan permohonan KGC sebenarnya hanya memakan masa satu bulan dan tidak mengambil masa lama sebelum dihantar ke pejabat kebajikan bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Program Pemerkasaan Warga Emas: Merungkai Penyakit Demensia di Kuching Community Social Support Centre (CSSC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Fatimah dalam ucapan perasmian program mendedahkan warga emas yang mempunyai KGC bakal menerima lima hingga 20 peratus tawaran diskaun sekiranya mendapatkan perkhidmatan rawatan dan keperluan di beberapa sektor swasta.

Diskaun terbabit merangkumi tawaran perkhidmatan kesihatan, klinik swasta, hospital swasta dan pasar raya.

“Selain itu, kedai cermin mata, klinik gigi Anmas, perkhidmatan pengangkutan dan kedai keranda juga termasuk dalam diskaun yang ditawarkan.

“Diskaun ini ditawarkan kepada pemohon tanpa mengira bangsa, agama dan sosioekonomi warga emas yang menerima,” katanya.

Selain itu, Fatimah menegaskan Kerajaan Sarawak turut menawarkan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) sebanyak RM1,800 untuk membantu menguruskan pengebumian waris pemegang KGC.

“Sehubungan itu, Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) sebanyak RM500 setahun juga telah diperkenalkan pada 22 Julai 2024 lalu untuk membolehkan warga emas untuk pergi ke klinik swasta atau hospital swasta.

“Namun, penerima harus menepati kelayakan yang ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM7,000,” jelasnya.

Ujarnya, sekiranya nama penerima tidak ada dalam senarai, maka penerima boleh menunjukkan kad pengenalan mereka untuk disemak oleh panel klinik atau hospital swasta dan kerajaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU