SRI AMAN: Semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata sinergi antara pemimpin dan masyarakat merupakan elemen penting dalam mengenal pasti keperluan setempat serta menyelaras pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Program seperti Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang menghimpunkan pemimpin dan masyarakat menjadi platform terbaik untuk mengukuhkan kerjasama, selain membolehkan isu dan keperluan komuniti dibincangkan secara bersama.
“Malah, program seumpama ini membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan masyarakat dan menjadi asas penting kepada pembangunan kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jembai dan Rumah Raymond di Dewan Serbaguna Melugu Skim, di sini, Jumaat lalu.
Mengulas mengenai pembangunan wilayah, Mong berkata Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan pertanian sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi bagi memperkukuh pembangunan di Bahagian Sri Aman.
Katanya, kedua-dua sektor itu berpotensi menjana peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat, di samping merancakkan pembangunan luar bandar secara mampan.
Pada masa yang sama, beliau turut menerangkan hala tuju Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menyasarkan Sarawak muncul sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi melalui pemerkasaan inovasi, penggunaan data, kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, kerajaan negeri juga terus memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan menerusi pelaksanaan inisiatif pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak yang layak di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Pada majlis itu, Mong turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM13,000 kepada Rumah Jembai, RM10,000 kepada Rumah Raymond dan RM5,000 kepada Dewan Serbaguna Melugu Skim bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan pembangunan komuniti setempat.
Justeru, beliau berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memperkukuh aktiviti kemasyarakatan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.



