KUCHING: Ketibaan arca Dewa Mazu dari Tokong Leluhur Mazu di Pulau Meizhou, China pada 7 Mei ini bakal disambut meriah menerusi perarakan berskala besar yang melibatkan upacara ziarah ke 10 tokong utama di sekitar bandar raya ini.
Persatuan Hokkien Kuching dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, arca suci itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11.20 pagi sebelum disambut secara rasmi di ruang ketibaan VIP oleh Presiden persatuan bersama ahli jawatankuasa.
“Sejurus tiba, arca tersebut akan menyertai Perarakan Maharani Syurga Mazu yang akan melalui beberapa tokong utama termasuk Tokong Sheing Seng Sungai Apong, Tokong Heng Ann Thian Miau Bintawa, Tokong Tiong Hock Kiong Petanak serta Tokong Ah Ma Hu.
“Selain itu, Wisma Kuching Hing Ann Thien Hoe Kong, Tokong Tua Pek Kong Siew San Teng Kuching, Tokong Hiang Tiang Siang Ti, Tokong Hin Ho Bio Persatuan Hainan Kuching, Tokong Hong San Si serta Tokong Mazu Persatuan Hokkien Kuching di Muara Tebas turut tersenarai sebagai lokasi upacara penempatan,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan itu menambah, perarakan akan menggunakan pelantar khas dan diiringi kumpulan gendang tradisional, pembawa panji serta tarian singa, selain diserikan dengan pelbagai ritual termasuk pertukaran dupa, doa dan penyampaian dupa suci.
“Upacara persembahan dupa akan diadakan sejurus ketibaan sebelum perarakan dimulakan dan arca tersebut dijangka tiba di Muara Tebas pada sebelah petang bagi upacara penempatan serta ritual tradisional tiga persembahan,” ujarnya.
Bagi memastikan kelancaran upacara, seramai lima perwakilan persatuan akan bergerak ke Pulau Meizhou dari 4 hingga 6 Mei ini untuk menerima arca suci tersebut, diketuai Pengerusi Lembaga Penyelia bersama wakil belia dan ahli jawatankuasa.
Delegasi itu turut akan menyertai ritual penuh istiadat di Tokong Leluhur Mazu sebelum mengiringi arca berkenaan pulang ke Kuching.
Dalam pada itu, bersempena ulang tahun kelahiran Mazu, persatuan akan menganjurkan sambutan Hari Keputeraan Mazu buat julung kalinya di Tokong Ching San Yen pada 9 Mei ini dan orang ramai dijemput hadir.
“Ketibaan arca Mazu melambangkan hubungan budaya dan spiritual yang erat antara Tokong Leluhur Mazu di Pulau Meizhou dan komuniti Hokkien di Kuching.
“Justeru, kami berharap penganjuran acara ini dapat memperkenalkan budaya Mazu kepada masyarakat, khususnya generasi muda agar warisan itu terus dipelihara,” katanya.
Untuk rekod, majlis perasmian rasmi Tokong Ching San Yen Persatuan Hokkien Kuching dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini bersempena hari kenaikan Mazu.
Sejak 8 Januari lalu, tokong tersebut mencatatkan peningkatan jumlah penganut, sekali gus menjadikan sambutan tahun ini lebih bermakna sebagai sambutan sulung.
Pemujaan Mazu yang dikenali sebagai Dewi Laut mempunyai sejarah panjang dan melambangkan nilai belas kasihan, kebajikan serta semangat membantu sesama insan.


