KUALA LUMPUR: Persembahan ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’, yang menonjolkan elemen kenegaraan, bakal menjadi antara daya tarikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah, bermula 7 malam pada 16 September ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, berkata ‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ bakal dipersembahkan oleh 100 artis budaya daripada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.
“‘Rumah MADANI Jiwa Merdeka’ bakal mengetengahkan lima elemen kenegaraan, termasuk lagu ‘Negaraku’, perpaduan, dinamik kemajuan, transformasi negara dan jiwa merdeka.
“Setiap elemen mempunyai makna tersendiri yang akan dikaitkan dengan tema Hari Kebangsaan, iaitu ‘Malaysia MADANI Jiwa Merdeka’, serta kemajuan yang dicapai negara sejak zaman kemerdekaan dan perpaduan berbilang kaum,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program ‘Selamat Pagi Malaysia’ terbitan RTM hari ini.
Beliau berkata artis terkemuka negara, seperti Stacy, Amir Jahari dan Faizal Tahir, dijangka turut memeriahkan sambutan Hari Malaysia dengan pra-persembahan yang akan bermula pada 5 petang.
Dalam pada itu, Mohamad Fauzi berkata program ambang sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Arkib Negeri Sabah di perkarangan pejabat jabatan itu turut menanti-nantikan kehadiran orang ramai.
Katanya, antara pengisian sambutan itu termasuk pameran pembentukan Malaysia dari 9 pagi hingga 5 petang pada 12 hingga 15 September, pertandingan melukis serta nyanyian lagu patriotik bertemakan ‘Malaysia MADANI Jiwa Merdeka’.
Mengulas lanjut tentang sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu itu, Mohamad Fauzi mengajak orang ramai menyaksikan acara sambutan Hari Malaysia hingga akhir dan menikmati segmen persembahan dron, pertunjukan ‘light and sound’ serta bunga api pada penghujung program.
“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal memandangkan kita menjangkakan kehadiran lebih 30,000 pengunjung ke program ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Merdeka360 atau ikuti platform media sosial di Facebook dan Instagram. – BERNAMA

