ARTIKEL

Persempadanan Semula DUN Perlu Teliti, Telus Dan Berpandukan Perlembagaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Proses persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu dilaksanakan secara teliti, telus dan berpandukan Perlembagaan bagi memastikan setiap rakyat memperoleh representasi yang lebih adil dan berkesan.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, proses berkenaan juga diharap dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah supaya rakyat memperoleh kepastian cadangan tersebut.

“Yang penting proses itu dilaksanakan secara teliti, telus dan mengikut lunas Perlembagaan. Kita tentunya berharap ia dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah supaya rakyat mendapat kepastian,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu, Fazzrudin yang juga ADUN Tupong berkata, secara prinsipnya, penambahan kerusi DUN bukan bertujuan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan setiap wakil rakyat dapat mewakili kawasan masing-masing dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pertambahan penduduk, pembangunan kawasan baharu serta perubahan demografi merupakan faktor yang wajar dinilai oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan fakta dan data.

Justeru, Fazzrudin berharap SPR terus melaksanakan tanggungjawabnya secara profesional, bebas dan berlandaskan Perlembagaan dalam mengemukakan sebarang syor berkaitan persempadanan semula.

Menurutnya, setiap cadangan yang dikemukakan perlu berasaskan kepentingan rakyat dengan mengambil kira faktor geografi, kepadatan penduduk, kemudahan perhubungan serta keseimbangan representasi.

Beliau turut menggalakkan orang ramai meneliti cadangan persempadanan apabila ia dipamerkan kelak serta mengemukakan pandangan atau bantahan melalui saluran rasmi yang disediakan oleh SPR.

Katanya, penyertaan rakyat dalam proses tersebut mencerminkan amalan demokrasi yang matang dengan setiap pandangan disampaikan secara berfakta, berhemah dan menghormati proses perundangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU