BINTULU: Persepsi bahawa murid yang ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mempunyai peluang terhad untuk berjaya perlu diubah kerana setiap anak berkeperluan khas memiliki potensi, bakat dan kebolehan yang mampu dikembangkan menerusi pendidikan berkualiti.
Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata, masih terdapat segelintir ibu bapa yang bimbang penempatan anak dalam PPKI akan menyebabkan mereka dilabel atau dipandang rendah oleh masyarakat, sekali gus menjejaskan masa depan mereka.
Beliau berkata, tanggapan itu tidak tepat kerana PPKI diwujudkan bagi memastikan murid berkeperluan khas menerima pendidikan yang bersesuaian dengan keupayaan masing-masing, di samping membina keyakinan diri, kemahiran hidup serta potensi untuk berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.
“Setiap anak mempunyai potensi tersendiri. Murid berkeperluan khas juga berhak menerima pendidikan yang berkualiti, peluang untuk berkembang, berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.
“Mereka bukan sekadar mengikuti proses pembelajaran, malah memiliki bakat, kemahiran dan kebolehan yang perlu terus diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pengurusan Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Tahun 2026 yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau berharap sokongan daripada ibu bapa, komuniti, sektor industri serta pelbagai pihak berkepentingan dapat diperkukuhkan bagi meningkatkan kebolehpasaran murid PPKI selepas tamat persekolahan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Dalam pada itu, Samri berkata, kejayaan sistem pendidikan tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, sebaliknya berdasarkan keupayaan menyediakan peluang pendidikan yang inklusif, saksama dan berkualiti kepada setiap murid tanpa mengira latar belakang atau keupayaan mereka.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar memastikan setiap anak berada di sekolah, tetapi memastikan setiap anak mendapat peluang yang adil untuk berjaya mengikut potensi masing-masing. Tiada seorang pun anak yang harus tercicir daripada sistem pendidikan hanya kerana perbezaan kemampuan atau keadaan diri mereka,” katanya.
Beliau turut berharap sesi libat urus berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendidikan inklusif serta memperkukuh kerjasama semua pihak dalam memastikan murid berkeperluan khas terus mendapat peluang untuk mencapai potensi terbaik mereka.
Menurut Samri lagi, antara objektif sesi libat urus itu ialah meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan PPKI, selain mengubah persepsi bahawa murid berkeperluan khas hanya menerima pendidikan tanpa mempunyai peluang untuk membina masa depan yang lebih baik.


