KUCHING: Peneraju inisiatif tenaga baharu Sarawak, SEDC Energy dengan kerjasama Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) bakal menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024.
Persidangan yang bertujuan mempercepatkan usaha merealisasikan aspirasi kemampanan dan pelepasan sifar bersih itu bakal berlangsung di Kuching pada 26 dan 27 Februari ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy, Robert Hardin, ia bakal menghimpunkan golongan pakar, pemimpin industri, penggubal dasar dan banyak lagi bagi meneroka pendekatan inovatif serta idea kolektif bagi memangkin tindakan ke arah membentuk landskap tenaga mampan di rantau ini.
“Kami berbangga mempunyai berkerjasama dengan MARC sebagai rakan kongsi strategik. Sokongan padu mereka akan membantumembina reputasi kami, khususnya Sarawak sebagai pemain industri tenaga baharu di rantau ini.
“Setakat ini, acara yang julung kali diadakan ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada penaja dan peserta walaupun ia merupakan acara jemputan eksklusif.
Justeru, kami berhasrat menjadikan persidangan ini sebagai acara utama dan diperluaskan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Kunjungan hormat yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARC, Datuk Jamaludin Nasir itu bertujuan menekankan kepentingan strategik kerjasama dan impaknya terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Sementara Jamaludin memberitahu, pihaknya amat berbesar hati menjadi rakan kongsi strategik untuk BETC 2024 yang sejajar dengan komitmen pihaknya untuk memupuk inovasi dan kemampanan dalam sektor tenaga.
“Visi dan dedikasi pihak SEDC Energy untuk memacu perubahan positif di rantau ini selaras dengan nilai diterajui MARC.
Justeru, bersama kami berhasrat untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga yang berdaya tahan dan mampan,” jelasnya.
Persidangan dua hari itu bakal menjadi platform penting bagi penggiat industri melaksanakan dialog kerjasama dan bertukar pendapat dalam mempercepat inisiatif peralihan tenaga kerana usaha kolektif boleh memacu perubahan positif untuk masa depan yang lebih bersih dan mampan.

