ARTIKEL

BERCAKAP… Misnu bercakap pada Majlis Perasmian Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak, hari ini. Foto Ghazali Bujang.

Persidangan ulama peringati jasa Sheikh Othman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak yang julung kali dianjurkan di Malaysia menjadi wadah mengangkat kembali ketokohan serta sumbangan ulama terkemuka negeri ini, Sheikh Othman Abdul Wahab.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, persidangan itu bukan sekadar mengenang jasa beliau dalam bidang dakwah dan pendidikan, sebaliknya menegaskan peranan Sheikh Othman sebagai tokoh ilmu yang relevan sepanjang zaman.

“Nama Sheikh Othman bukan asing lagi dalam sejarah perkembangan Islam di Sarawak. Sumbangan beliau telah diabadikan pada kursi kesarjanaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (SMKA SHOAW), sekolah tahfiz pertama di Sarawak berteraskan Model Ulul Albab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak yang dirasmikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Menurut Misnu, persidangan ini menjadi wadah menghimpunkan para sarjana tempatan dan antarabangsa untuk membincangkan isu strategik umat Islam di era kontemporari, selaras dengan tema Menyemarak Ilmu: Membangun Dunia Kontemporari.

Beberapa kertas kerja, katanya, turut dibentangkan meliputi aspek sains, teknologi, kecerdasan buatan (AI), kelestarian ekonomi, keterjaminan makanan serta peranan umat Islam dalam arus pembangunan semasa.

CENDERAHATI… Dr Abdul Rahman menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari. Foto Ghazali Bujang.

“Persidangan ini diharap dapat dijadikan acara dwitahunan agar terus menjadi pentas ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus menyumbang kepada usaha Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Kursi Sheikh Othman wajar berkembang sebagai pusat penyelidikan terkemuka dalam bidang ekonomi digital, pertanian moden, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pembangunan tamadun.
Katanya, bidang kecerdasan buatan juga perlu dijadikan teras utama penyelidikan masa depan agar selari dengan keperluan zaman.

“Lebih penting, output daripada penyelidikan ini yang dibiayai melalui dana wakaf Kursi dapat dimanfaatkan untuk memperkasa sosioekonomi masyarakat Islam di Sarawak,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UKM dan Fakulti Pengajian Islam yang telah bekerjasama erat dalam menjayakan penganjuran bersejarah ini.

Persidangan dua hari bermula semalam itu menghimpunkan ulama, akademia, penyelidik, pelajar serta masyarakat umum bagi membincangkan cabaran kontemporari termasuk sains, teknologi, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan dan pembangunan ekonomi umat Islam.

Antara pembentang utama ialah Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datuk Kipli Yassin; sarjana antarabangsa Profesor Dr John L. Esposito dari Universiti Georgetown, Amerika Syarikat; serta Dr Shanti Faridah Salleh dari UNIMAS yang juga Penyandang Kursi Wakaf Sheikh Othman Sarawak.

Penganjuran ini turut memperingati ulang tahun ke-70 penubuhan MIS, di samping mengangkat ketokohan Sheikh Othman sebagai ulama besar Sarawak yang sumbangannya terus relevan merentas zaman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU