ARTIKEL

Johnny (enam kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Bertuntong sempena Hari Raya Aidilfitri, hari ini.

Pertandingan Bertuntong Perkukuh Perpaduan Komuniti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Penganjuran Pertandingan Bertuntong sempena Hari Raya Aidilfitri dilihat mampu memperkukuh perpaduan masyarakat setempat, kata ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.

Menurutnya, penganjuran program ini bukan sahaja memeriahkan sambutan perayaan, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan penduduk.

RAKAM KENANGAN…Johnny merakam kenangan bersama-sama yang lain selepas majlis tersebut.

“Pertandingan ini melibatkan penyertaan empat kampung iaitu Kampung Assyakirin Fasa 1, 2 dan 3 serta Kampung Jepak, yang masing-masing menampilkan kreativiti tersendiri dalam menghias kawasan kediaman.

“Penduduk kampung menunjukkan komitmen dan berganding bahu dalam proses menghias, sekali gus berjaya mewujudkan suasana yang menarik dan sarat dengan elemen budaya tempatan.

“Lebih penting, aktiviti seperti ini mampu menyemarakkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan nilai ‘semangat kampung’ yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan, hari ini.

Dalam pada itu, Johnny memaklumkan pihaknya bercadang untuk memperluas skala pertandingan pada masa hadapan dengan memperkenalkan format baharu.

Ujarnya, setiap kampung akan menganjurkan pertandingan di peringkat masing-masing sebelum pemenang bertanding di peringkat akhir.

“Pendekatan ini diyakini mampu meningkatkan penyertaan serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan penduduk,” ujarnya.

Dalam pertandingan tersebut, Muayadi dari Kampung Assyakirin Fasa 2 muncul sebagai juara, sekali gus membawa pulang hadiah utama atas usaha dan kreativiti dalam menceriakan suasana kampung sempena sambutan perayaan itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU