SIBU: Bazar Ramadan Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 tahun ini tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan pertandingan gerai tercantik yang menekankan hiasan lampu LED, sekali gus memeriahkan suasana bazar sepanjang bulan Ramadan.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang, dengan RM800 bagi tempat pertama, RM500 bagi tempat kedua dan RM300 bagi tempat ketiga.
“Pada tahun ini terdapat sedikit kelainan, iaitu penganjuran pertandingan lampu hiasan di setiap gerai. Hadiah wang tunai akan disediakan kepada pemenang. Hiaslah gerai anda sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada taklimat kepada peniaga dan cabutan undi gerai Bazar Ramadan 2026 yang berlangsung di Dewan LAKIS Sibu, semalam.
Menurut beliau, pengurusan bazar pada tahun ini masih dikendalikan oleh Pusat Khidmat DUN Nangka, dengan penglibatan 114 peniaga tempatan yang akan beroperasi di 58 khemah bermula 18 Februari hingga 17 Mac ini.
Sayed Azmee turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee atas sokongan berterusan termasuk penyediaan subsidi berjumlah kira-kira RM40,000 dengan setiap peniaga menerima RM350.
“Subsidi itu bertujuan meringankan beban kos operasi peniaga sepanjang bulan Ramadan, sekali gus membantu mereka menjalankan perniagaan dengan lebih lancar dalam suasana yang teratur dan kondusif,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan semua peniaga agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran operasi bazar serta mengelakkan sebarang isu sepanjang penganjuran.
Dalam pada itu, sesi taklimat tersebut turut melibatkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan kebersihan, Majlis Perbandaran Sibu (SMC) serta Bank Islam berhubung kemudahan yang ditawarkan kepada peniaga.
Kerja penyediaan tapak bazar akan bermula pada 9 Februari dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga enam hari sebelum dirasmikan pada 18 Februari oleh ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Kemudahan surau turut disediakan di tapak bazar bagi kegunaan peniaga dan pengunjung, selain program Buka Puasa Perdana di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1 yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mac.–TVS



