KUCHING: Pertandingan Nyanyian Mandarin Sarawak yang memasuki edisi ke-50 terus menjadi platform penting bagi menggilap bakat serta memupuk perpaduan masyarakat pelbagai latar belakang di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran pertandingan yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei di SJK Chung Hua Jernang, Samarahan itu membuktikan peranan muzik sebagai medium penyatuan masyarakat.
“Pertandingan Nyanyian Mandarin Lelaki dan Wanita Terbuka Sarawak ke-50 serta Pertandingan Nyanyian Mandarin Veteran Sarawak ke-5 berjaya menghimpunkan peserta dari seluruh Sarawak tanpa mengira latar belakang, sekali gus mengeratkan hubungan persahabatan dan menyerlahkan kepelbagaian budaya negeri ini.
“Pertandingan ini bukan sahaja mencungkil bakat, malah turut memupuk semangat perpaduan dan keharmonian melalui muzik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penganjur berjaya mengekalkan standard tinggi secara konsisten selain menyatakan kekaguman terhadap kualiti persembahan peserta dari pelbagai bahagian di negeri ini.
“Justeru, saya berharap pertandingan ini akan terus berkembang dan mendapat liputan lebih meluas melalui media arus perdana serta platform digital bagi memperkukuh industri muzik tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Bintulu merangkap Presiden Persatuan Nyanyian Sarawak, Johnny Pang Leong Ming berkata, sejak diperkenalkan pada 1975, pertandingan tersebut kekal sebagai antara acara nyanyian Mandarin paling berpengaruh di Sarawak.
“Sepanjang lima dekad penganjuran, pertandingan ini melahirkan ramai bakat baharu serta menjadi wadah membawa aspirasi generasi pencinta muzik.
“Kategori veteran turut memberi ruang kepada penyanyi berpengalaman untuk terus berkarya, bertukar idea dan menyerlahkan bakat masing-masing.
“Oleh itu, kejayaan penganjuran ini adalah hasil sokongan padu persatuan muzik dari seluruh Sarawak yang terus komited memperkasa industri muzik tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Penasihat Kehormat Tetap, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, edisi tahun ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam sejarah pertandingan tersebut.
“Selain menjadi medan pertandingan, acara ini turut berfungsi sebagai platform perpaduan, pertukaran budaya dan pembangunan bakat dalam kalangan peserta dari seluruh negeri.
“Peserta juga berpeluang mempertingkatkan teknik nyanyian, menimba pengalaman pentas serta menikmati kepuasan melalui muzik.
“Saya yakin pertandingan ini akan terus berkembang sebagai platform penting dalam mencungkil bakat nyanyian baharu di Sarawak,” katanya.


