KABONG: Sambutan Maulidur Rasul peringkat DUN Kabong tahun ini bakal dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program, termasuk perarakan berwarna-warni melibatkan kontinjen daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, antara tarikan utama ialah pertandingan sepanduk yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Masjid dan Surau, Jabatan dan Persatuan, serta Kampung.
“Seperti kebiasaan, sambutan turut diserikan dengan pengisian di Masjid Assabirin Kabong seperti Pertandingan Azan (Kategori Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah) serta Zikir Maulud,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Kabong, pada Khamis.
Jelasnya, perarakan akan bermula di Kabong Town Square dan berakhir di Pusat Penjaja Kabong, manakala borang penyertaan pertandingan akan diedarkan dalam masa terdekat.
Bertemakan “Sarawak Maju Makmur”, sambutan tahun ini dijadualkan pada 5 September 2025, mencerminkan kemajuan dan kemakmuran rakyat Sarawak yang berbilang kaum.
Turut hadir Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee; Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong, Kaunselor Ulin Tabur, wakil jabatan, pengerusi masjid dan surau, serta ketua masyarakat setempat.-TVS


