KUCHING: Projek perintis Teknologi Pertanian Pintar di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) mencatat kejayaan memberangsangkan apabila berjaya merekodkan penjimatan signifikan sejak pelaksanaannya.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek yang dilaksanakan melalui Kemudahan Pertanian Ketepatan dan Berdisiplin (PDAF) itu telah menunjukkan penjimatan 50 peratus dalam tenaga kerja, 60 peratus penggunaan air, dan pengurangan pembaziran baja sebanyak 30 peratus sejak 2023.
“Model ini boleh diperluaskan kepada tanaman lain, termasuk penanaman padi, untuk membantu petani memperoleh lebih banyak hasil dengan kos yang lebih rendah,” katanya semasa ucapan penggulungan pada persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Tambahnya, pertanian pintar iklim akan membantu petani meningkatkan hasil, mengurangkan pelepasan, dan memelihara tanah untuk generasi masa hadapan.
“Projek tersebut juga melibatkan kemudahan yang merangkumi dua rumah hijau berteknologi tinggi dan kawasan tanaman terbuka yang dilengkapi sensor Internet Pelbagai Benda (IoT), sistem fertigasi pintar berketepatan tinggi, dan sistem pengairan moden,” ujarnya.
Beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM30 juta kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk membangunkan makanan ternakan berasaskan minyak sawit berkualiti pada harga berpatutan.
“Di Loji Penghancuran Isirung Sawit di Lubok Antu dan kilang makanan ruminan di Saratok, hampas isirung sawit dan tandan kosong sawit diproses menjadi pelet makanan, dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 20,000 tan metrik makanan ruminan berasaskan sawit setahun.
“Pendekatan bersepadu ini mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan import, mengukuhkan rantaian nilai pertanian tempatan, serta mewujudkan peluang pendapatan baharu kepada pekebun kecil, di samping menggalakkan ekonomi desa yang lebih sirkular dan rendah karbon,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 yang baru sahaja diluluskan, ia membolehkan Sarawak memanfaatkan bio-sumber.
“Ia merangkumi kelapa sawit, biojisim kayu, sagu, dan sisa pepejal bandar sebagai bahan suapan untuk bioenergi dan produk tambah nilai, termasuk penyelesaian jana tenaga daripada sisa.
“Pendek kata, jangan biarkan sisa terbiar; jana nilai daripadanya,” katanya.


