ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Sektor pertanian Sarawak terus mencatat prestasi positif dan kekal sebagai antara tiga penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta transformasi luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sektor tersebut memberi sumbangan besar kepada ekonomi negeri dengan nilai purata RM14.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2024.
“Jumlah tersebut mewakili 10.5 peratus daripada keseluruhan KDNK Sarawak, sekali gus meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang utama ekonomi negeri selepas sektor perkhidmatan, pembuatan dan perlombongan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam penggulungan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, nilai eksport sektor pertanian turut menunjukkan peningkatan ketara daripada RM14 bilion pada 2020 kepada RM20 bilion pada 2024 dengan merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM16 bilion pada tahun lalu.
Mengulas lanjut ujarnya, industri kelapa sawit kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan sektor pertanian Sarawak.
“Pada 2024, eksport minyak sawit menjana RM16.5 bilion atau 12 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negeri.
“Industri ini juga berkembang pesat dari segi pembangunan tanah dengan keluasan mencecah kira-kira 1.7 juta hektar,” ujarnya.
Beliau berkata, Sarawak kekal sebagai pengeluar lada terbesar negara dengan menyumbang kira-kira 98 peratus daripada keseluruhan pengeluaran lada Malaysia.
“Berdasarkan rekod 2025, sektor lada negara menyumbang RM2.27 bilion kepada KDNK Malaysia, manakala industri lada Sarawak dianggarkan menyumbang sekitar RM2 bilion setahun atau antara 1.3 hingga 1.5 peratus kepada KDNK negeri.
“Pengeluaran lada Sarawak mencecah 30,613 tan metrik dengan nilai eksport sebanyak RM159 juta,” jelasnya.
Sementara itu katanya, subsektor penternakan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila eksport babi hidup meningkat kepada 124,871 ekor bernilai RM197.42 juta pada 2025 berbanding 56,050 ekor bernilai RM56.27 juta pada 2020, peningkatan kira-kira 123 peratus dalam tempoh lima tahun.
“Bagaimanapun, jumlah pengeluaran perikanan keseluruhan menurun daripada 141,000 tan metrik pada 2020 kepada 125,000 tan metrik pada 2025 iaitu penurunan sekitar 11.4 peratus.
“Keadaan itu disebabkan pengurangan hasil perikanan tangkapan laut serta penurunan ketara pengeluaran akuakultur air payau.
“Walaupun akuakultur air tawar dan perikanan darat menunjukkan peningkatan, ia masih belum mampu menampung penurunan keseluruhan pengeluaran,” jelasnya.
Tambahnya, bagi meningkatkan trend ini, produktiviti perlu dipertingkatkan, infrastruktur dimodenkan serta daya tahan industri diperkukuhkan selain memastikan penggunaan sumber perikanan secara lestari dan bertanggungjawab.

Belanjawan 2027: Perbelanjaan Pembangunan RM83 Bilion Pacu Pertumbuhan, Infrastruktur
KUALA LUMPUR: Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion di bawah Belanjawan 2027 memberi peluang untuk Malaysia memperkukuh asas ekonomi negara, memperluas peluang perniagaan dan menyokong
