ARTIKEL

Doris Brodie.

Pertimbang tambah kerusi DUN di Parlimen Sri Aman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan Parlimen Sri Aman dilihat wajar diberikan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan kepada masyarakat di kawasan pedalaman lebih berkesan.

Cadangan mewujudkan DUN baharu dikenali sebagai Bukit Kelingkang sebelum ini telah diketengahkan, namun nama kawasan berkenaan didakwa tidak tersenarai dalam 17 kerusi DUN baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan, berkata pihaknya menghargai usaha SPR mengenal pasti kawasan yang memerlukan pertambahan kerusi DUN, namun agak kecewa apabila keseluruhan kawasan Sri Aman termasuk kawasan bersebelahan Lubok Antu dilihat tidak mendapat kerusi baharu.

Snowdan Lawan.

Snowdan yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS), berkata cadangan Bukit Kelingkang sebelum ini telah dikemukakan kepada parti untuk dipertimbangkan dalam proses persempadanan semula.

“Parlimen Sri Aman merangkumi tiga kerusi DUN iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang.

“Kami amat berharap cadangan Bukit Kelingkang dapat dipertimbangkan sebagai kerusi baharu.

“Cadangan ini dibuat kerana kami percaya kawasan berkenaan memenuhi beberapa kriteria penting termasuk saiz dan komposisi penduduk, kesesuaian geografi, akses serta hubungan pengangkutan dan kecekapan pentadbiran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Aman dan Ketua Wanita PRS, Datuk Seri Doris Brodie, menyatakan rasa kecewa sekiranya laporan mengenai senarai 17 kerusi baharu itu adalah tepat.

Beliau menegaskan Parlimen Sri Aman sememangnya memerlukan satu lagi kerusi DUN bagi dikenali sebagai Bukit Kelingkang, mengambil kira keluasan kawasan serta cabaran yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan.
“Ini bukan semata-mata permintaan politik tetapi satu keperluan sebenar berdasarkan faktor geografi, akses dan keperluan rakyat,” ujarnya.

Menurut Doris, Parlimen Sri Aman meliputi kira-kira 685,224 ekar, dengan N.30 Balai Ringin merangkumi 340,017 ekar, N.31 Bukit Begunan (261,685 ekar) dan N.32 Simanggang (83,522 ekar).

Kawasan berkenaan juga mempunyai kira-kira 900 rumah panjang dan penempatan yang tersebar di kawasan luar bandar, sepanjang sungai serta kawasan berbukit, sekali gus menjadikan penyampaian perkhidmatan dan pemantauan pembangunan lebih mencabar.

Beliau berkata keadaan geografi Sri Aman jauh berbeza berbanding kawasan bandar kerana banyak komuniti berada pada jarak yang jauh antara satu sama lain, selain masih terdapat kawasan luar bandar dan pedalaman yang memerlukan penambahbaikan dari segi jalan raya, bekalan air terawat, elektrik, telekomunikasi dan kemudahan asas lain.

Katanya, skala pembangunan yang semakin berkembang serta keluasan kawasan Parlimen Sri Aman turut meningkatkan tanggungjawab wakil rakyat dalam menyelaras projek pembangunan, mendekati masyarakat dan memastikan penyampaian perkhidmatan berjalan lancar.

“Pewujudan satu lagi kerusi DUN akan membawa kerajaan lebih dekat kepada rakyat dengan meningkatkan akses kepada wakil rakyat, memperkukuh penglibatan akar umbi, mempertingkat pemantauan projek pembangunan dan memastikan perkhidmatan awam disampaikan dengan lebih cekap,” katanya.

Doris menambah, cadangan Bukit Kelingkang selaras dengan prinsip Sarawak bahawa persempadanan pilihan raya perlu mengambil kira faktor keluasan geografi, aksesibiliti dan keperluan pembangunan, dan bukan hanya berdasarkan jumlah penduduk semata-mata.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU