KOTA SAMARAHAN: Pembuat atau penyedia khidmat takaful diseru untuk mempertimbangkan penawaran insurans khas kepada para pelajar khususnya di peringkat universiti.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, perkara tersebut penting untuk memberi pelindungan kerana mereka ini juga terlibat dengan aktiviti luar serta berisiko.
“Justeru, sudah tiba masanya pembuat atau penyedia perkhidmatan takaful mempertimbangkan insurans khas kepada para pelajar universiti.
“Ia juga boleh ditawarkan dengan pakej dan kadar istimewa atau rendah, supaya memudahkan golongan ini mendapatkan insurans,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Takaful In Campus 2023 di Dewan Mutiara, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memuji program tersebut kerana dapat memberikan maklumat yang mendalam mengenai pengurusan kewangan khususnya dalam kalangan pelajar.
Program juling kali diadakan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama UNIMAS dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Samarahan. Program itu juga dihoskan oleh UNIMAS dan turut disertai oleh UiTM dan juga Kolej Universiti i-CATS.
Ia juga bertujuan untuk memberikan maklumat mengenai konsep kewangan bagi membantu khalayak menguruskan kewangan mereka dengan lebih berkesan dan menjadi platform pelajar serta industri bertukar pandangan, pengetahuan termasuk maklumat lain berkaitan Celik Kewangan.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Panglima Sulong Mat Jeraie; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovas UNIMAS Profesor Ir. Dr Siti Noor Linda Taib; Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed; Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Kuching Mohd Irman Mohd Din; Pengarah, Pusat Industri Universiti, UNIMAS Profesor Dr Mohd Hasnain Mohd Hussain; serta wakil yang lain.


