ARTIKEL

Ivan Alexander Ong.

Pertiwi Progresif mahu reformasi AUKU libatkan Sabah, Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertiwi Progresif menggesa reformasi pendidikan tinggi susulan keputusan Kerajaan Persekutuan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira suara mahasiswa dan belia Sabah serta Sarawak.

Pengerusinya, Ivan Alexander Ong berkata, pemansuhan AUKU tidak seharusnya sekadar pengumuman politik, sebaliknya diterjemahkan menerusi pembaharuan konkrit terhadap kebebasan akademik, autonomi universiti dan hak mahasiswa.

Katanya, sebagai pertubuhan belia berpangkalan di Sarawak, Pertiwi Progresif menyokong perjuangan mahasiswa dalam memperjuangkan kebebasan akademik dan autonomi institusi pendidikan tinggi.

“Walaupun Pertiwi Progresif berpangkalan di Sarawak, isu kebebasan bersuara, autonomi universiti dan hak mahasiswa tidak terhad mengikut sempadan negeri.

“Ramai anak muda Sarawak melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di seluruh Malaysia dan mereka turut tertakluk kepada sekatan di bawah AUKU serta undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Ivan berkata reformasi berkenaan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang turut memberi kesan langsung kepada belia Sarawak dan pelaksanaannya mesti dirasai di kampus di Malaysia Timur.

Pertiwi Progresif turut menyokong tuntutan HARAM, Liga Mahasiswa Malaysia dan MANDIRI, termasuk penjelasan mengenai status undang-undang lain yang mengehadkan kebebasan bersuara mahasiswa.

Antaranya Akta Universiti Teknologi MARA 1976, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 serta akta berkaitan.

Selain itu, organisasi berkenaan menggesa penubuhan Jawatankuasa Penggubalan Akta Pendidikan Tinggi baharu yang inklusif dengan penyertaan rasmi gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil.

Ia turut mencadangkan garis masa pelaksanaan yang jelas serta penubuhan tribunal rayuan tatatertib bebas yang tidak dipengaruhi pihak eksekutif.

Pertiwi Progresif juga mahu tindakan tatatertib yang pernah dikenakan terhadap mahasiswa di bawah AUKU disemak semula bagi memastikan pemansuhan akta itu turut disusuli penyelesaian terhadap kes terdahulu.

Ivan berkata, jawatankuasa penggubalan akta baharu perlu memberi ruang kepada wakil belia dan mahasiswa Sabah serta Sarawak bagi memastikan reformasi mengambil kira konteks dan keperluan Malaysia Timur, selaras dengan semangat kesamarataan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut mengingatkan supaya pemansuhan AUKU tidak berakhir sebagai retorik politik, sebaliknya disusuli tindakan konkrit dalam tempoh munasabah.

Katanya, Pertiwi Progresif bersedia bekerjasama dengan gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Semenanjung, bagi menuntut kebertanggungjawaban kerajaan melalui saluran sah dan demokratik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU