SIMANGGANG: Isu kerosakan khemah di kawasan menunggu sementara Klinik Kesihatan (KK) Sri Aman berjaya diatasi dalam tempoh singkat hasil inisiatif Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman.
Pengerusinya, Temenggung Kueh Aik Seng berkata, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan para pesakit dapat menunggu giliran dalam keadaan yang lebih selesa dan kondusif.
“Selepas dimaklumkan mengenai kerosakan khemah di kawasan menunggu sementara KK Sri Aman, pihak pertubuhan segera mengambil tindakan bersama Biro Pemuda bagi merangka pelan baik pulih serta pelaksanaan segera.
“Hasil persetujuan pihak pengurusan KK Sri Aman, kita berjaya menggantikan khemah yang rosak dengan struktur baharu dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Jelasnya, Biro Pemuda pertubuhan tersebut telah mengambil inisiatif memasang kanvas baharu sehari sebelum penyerahan rasmi dilakukan bagi memastikan urusan pesakit yang berkunjung ke klinik tidak terganggu.
Antara yang terlibat dalam gerak kerja tersebut ialah Setiausaha Pertubuhan Tay Cho Seng, Ketua Pemuda Ngu Sze Lee, Timbalan Ketua Pemuda Simon Khoo Guan Shin serta barisan ahli jawatankuasa pemuda iaitu Calvin Chong Sze Meng, Kiew Kok Fah, Stanley Chung Meng Yong, Vincent Yong Sin Poh dan Gabriel Tay.
Sumbangan berkenaan diserahkan secara rasmi oleh Aik Seng kepada Pegawai Perubatan KK Sri Aman, Dr. Wong Jiat Yin.
Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Residen Bahagian Sri Aman Mahra Saleh dan Ketua Seksyen Pembangunan Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr. Mirunaaleni Selvaraju.
Tambah Aik Seng, inisiatif tersebut selaras dengan matlamat dan prinsip pertubuhan yang sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat serta berkhidmat demi kepentingan awam.
“Pertubuhan ini akan terus komited untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak dalam usaha menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat,” tegasnya.

