KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 bukan sekadar melindungi alam sekitar, malah berperanan sebagai pemangkin ekonomi yang mampu menjana pendapatan baharu serta mengurangkan perbelanjaan jangka panjang kerajaan.
ADUN Pujut, Adam Yii berkata, RUU ini membolehkan penubuhan Dana Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa melalui yuran lesen, levi, denda penguatkuasaan, hasil projek serta dividen pelaburan. Dana ini dijangka menjadi sumber pendapatan penting bagi Sarawak.
“Selain itu, nilai sisa seperti biojisim, sisa kayu, hasil pertanian, serpihan pembinaan, dan sisa industri dapat dijana semula sebagai bahan mentah bagi industri baharu, sekali gus menjana pendapatan sambil mengurangkan kos operasi tapak pelupusan.
“Pihak Berkuasa juga diberi kuasa menubuhkan syarikat di bawah Akta Syarikat, membolehkan Sarawak terlibat dalam projek berprofil tinggi seperti teknologi kitar semula moden, hidrogen daripada sisa, dan penyelesaian industri hijau,” katanya ketika membahas RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Tambah Adam, RUU ini dijangka dapat mengurangkan beban kewangan Majlis Tempatan dan kerajaan, termasuk kos pembersihan pembuangan haram, pembukaan longkang tersumbat, operasi tapak pelupusan, serta kerja pemulihan akibat pengurusan sisa yang lemah.
Malah, RUU ini membuka peluang kepada rakyat Sarawak melalui sektor ekonomi hijau dan kitar semula, membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu, penyelidikan dan inovasi baharu serta pembangunan bakat.
Dalam pada itu, Adam memaklumkan Sarawak kini mengalami perindustrian pesat, urbanisasi, dan pengembangan agenda ekonomi hijau.
‘’Tanpa rangka undang-undang moden, nilai ekonomi sisa berpotensi hilang, termasuk peluang menukar sisa kepada tenaga, biojisim atau bahan industri.
‘’RUU ini juga penting bagi perlindungan alam sekitar jangka panjang. Sungai, kawasan tadahan air, pesisiran pantai dan longkang Sarawak berisiko terjejas akibat pembuangan haram dan pembakaran terbuka.
‘’Tanpa pengasingan wajib, lesen, pemantauan dan penguatkuasaan, pencemaran akan meningkat, memberi kos tinggi kepada generasi akan datang,’’ jelasnya.
Selain itu, kata Adam, pengurusan sisa yang berkesan secara langsung memberi kesan positif kepada kesihatan awam, mengurangkan risiko pencemaran udara, air tercemar, pembiakan nyamuk, penyakit pernafasan dan keadaan hidup tidak selamat.
RUU ini juga ujarnya akan meningkatkan daya tarikan Sarawak kepada pelabur global dan dengan undang-undang yang jelas serta penguatkuasaan yang tegas, Sarawak seterusnya mampu menarik modal, teknologi dan peluang pekerjaan baharu ke negeri ini.



