KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM425 juta bagi menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik di Lundu, Lubok Antu, Bahagian Betong, Sungai Asap dan Lawas.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata daripada jumlah tersebut, RM98 juta diperuntukkan khusus untuk pelaksanaan projek di Lundu.
“Ini termasuk pembinaan Talian Monopole 33kV dari Pencawang 33kV Stenggang ke Pencawang 33kV CENTEX Lundu yang disasarkan siap pada suku keempat 2031 serta Pencawang 33kV Kampung Stenggang yang dijangka siap pada suku keempat 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan mengenai usaha menaik taraf rangkaian kuasa di Lundu–Sematan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata projek pembinaan substesen 33 kilovolt (kV) kedua dari Lundu ke Sematan bernilai RM11 juta kini sedia dilaksanakan setelah dianugerahkan kepada kontraktor yang layak pada November 2025.
Menurutnya, kos projek itu sama dengan pembinaan kabel dwi-litar 33kV dari Tondong ke Bau yang telah dikuasakan pada 27 Februari 2022.
“Perancangan bersepadu bagi sistem 33kV dan 132kV untuk kerja pengukuhan di Lundu dirangka berdasarkan pertumbuhan beban di bawah pelan jangka panjang penghantaran dan pengagihan.
“Pada masa ini, sistem 33kV sedang dibangunkan mengikut beban semasa dan unjuran lima tahun akan datang, manakala sistem 132kV dirancang pada peringkat kemudian bagi memenuhi permintaan beban lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa beberapa projek utama 33kV sedang dilaksanakan termasuk pemasangan kabel 33kV dari Tondong ke Kampung Stenggang dan dari Tondong ke Bau Junction yang dijangka siap pada suku keempat 2026 dengan kos RM43 juta.
“Selain itu, pemasangan bank kapasitor 2.5 MegaVAR di Pencawang 33kV CENTEX dan Pencawang 33kV Lundu dijangka siap pada suku keempat 2026 dengan peruntukan RM3.6 juta,” katanya.


