Pesakit buah pinggang: 250 orang meninggal dunia setiap tahun

KUCHING: Seramai 250 pesakit buah pinggang meninggal dunia pada setiap tahun di Sarawak, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 500 hingga 550 individu di Sarawak didiagnosis mengalami kegagalan buah pinggang dan harus memulakan rawatan dialisis.

“Jumlah pesakit buah pinggang di Sarawak adalah 3,544 orang dengan 90 peratus daripada mereka menjalani hemodialisis dan selebihnya menjalani Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan cek bernilai RM40,000 daripada OCBC Bank Cawangan Kuching kepada Pusat Hemodialisis Yayasan Buah Pinggang Negara (NKF) di Pusat Dialisis KAS-NKF, pada Sabtu.

Tambah Dr Sim, pesakit buah pinggang yang menjalani hemodialisis perlu mengunjungi pusat dialisis tiga kali seminggu, dengan setiap sesi berlangsung hingga empat jam.

Di Sarawak katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyediakan 34 peratus rawatan hemodialisis di seluruh negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyumbang 39 peratus.

Katanya, kini terdapat lima pusat dialisis dikendalikan NGO di Kuching manakala dua di Sibu dan masing-masing satu di Miri, Bintulu dan Serian.

“Untuk pusat ini, pesakit membayar antara RM90 hingga RM150 setiap sesi rawatan hemodialisis. Sektor swasta mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 setiap pesakit setiap sesi,” tambahnya.

“Kerajaan Sarawak juga telah memberikan subsidi penuh atau sebahagian kepada pesakit miskin untuk menjalani rawatan hemodialisis dan bagi mereka yang pergi ke KKM harus membayar RM13 setiap sesi,” ujarnya.

Beliau menambah, rawatan hemodialisis membolehkan pesakit buah pinggang hidup 15 hingga 20 tahun lagi. Dr Sim berkata, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak memperuntukkan sejumlah dana selama lebih lima tahun, untuk membantu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang di negeri ini.

“Ini untuk memastikan tidak ada rakyat Sarawak yang meninggal disebabkan kegagalan buah pinggang kerana tidak dapat menjalani dialisis mereka,” katanya.

Suara Sarawak