KUCHING: Pesta Pantun Peringkat Sarawak 2026 (PESANTUN 2026) menjadi wadah penting bagi melaksanakan agenda nasional untuk membentuk masyarakat yang berbudaya, kreatif, berdaya tahan serta menghargai identiti negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, platform tersebut bukan sahaja memberi penekanan kepada usaha memelihara warisan seni tradisi, malah memastikan warisan tersebut terus berkembang mengikut peredaran zaman.
“Seni budaya perlu sentiasa segar, inklusif dan mampu mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih inovatif tanpa menghilangkan nilai dan keasliannya,” katanya menerusi teks yang dibacakan oleh Pengarah JKKN Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman pada program PESANTUN 2026 di Balai Raya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, hari ini.
Beliau menegaskan komitmen untuk memperluaskan akses masyarakat terhadap aktiviti kebudayaan menerusi pelbagai inisiatif yang terus diperkasa.
“Seni bukan hanya milik penggiat seni, tetapi merupakan hak setiap lapisan masyarakat. Kita berusaha untuk memastikan masyarakat di bandar mahupun luar bandar berpeluang menikmati, mempelajari dan menyertai aktiviti seni budaya secara aktif.
“Pendekatan ini penting bagi membina masyarakat yang kreatif, berfikiran terbuka serta mempunyai jati diri yang kukuh,” ujarnya.

JKKN memberi tumpuan kepada pembangunan bakat secara berterusan menerusi program seperti PESANTUN.
“Pembangunan bakat tidak boleh terhenti selepas pertandingan selesai, tetapi perlu diteruskan melalui ekosistem yang menyokong pertumbuhan mereka sebagai penggiat seni profesional,” ringkasnya.
Pada pusingan akhir PESANTUN 2026, Pasukan Ratna Pujangga dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak merangkul gelaran johan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala dan sijil penyertaan.
Pasukan Dermaga Poliku dari Politeknik Kuching pula dinobatkan sebagai naib johan membawa pulang RM1,000, piala dan sijil penyertaan.


