KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki dan wanita ditangkap selepas masing-masing cuba mencuri di sebuah premis pejabat dan pasar raya berdekatan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Damataries Lautin berkata, suspek lelaki berusia 54 tahun yang juga seorang pesara ditahan ketika cuba mencuri kabel Telekom di sebuah pejabat, kira-kira jam 4.40 petang semalam.
“Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pengadu melihat suspek cuba menarik kabel yang terjuntai di bahagian dinding atas premis.
“Menyedari perkara itu, pengadu menghubungi pekerjanya untuk memeriksa keadaan sebelum berjaya menangkap suspek yang cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu datang bersama seorang wanita berusia 43 tahun yang tidak bekerja.
“Wanita berkenaan didapati cuba mencuri di sebuah pasar raya berdekatan namun perbuatannya disedari pekerja sebelum berjaya dihalang,” jelasnya.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk permohonan reman di Mahkamah Kota Samarahan, hari ini.


