ARTIKEL

Pesara guru di Oya jana pendapatan usahakan hidroponik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Selepas puluhan tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, seorang pesara guru memilih untuk mengisi masa lapang dengan mengusahakan tanaman hidroponik, sekali gus menjadikan minat terhadap pertanian sebagai sumber pendapatan selepas bersara.

Bermula dengan percubaan secara kecil-kecilan pada 2019, usaha Yusop Latip Draaman, 64, kini berkembang menjadi projek tanaman sayur-sayuran tanpa tanah yang diusahakan di Kampung Kuala Hilir Oya, dekat sini.

Yusop berkata, idea mengusahakan hidroponik tercetus selepas isterinya melihat tanaman sayur milik seorang kenalan di Kampung Boom yang tumbuh subur menggunakan kaedah berkenaan.

“Saya tertarik dengan tekniknya yang mudah dan mula mendapatkan maklumat melalui pertanyaan serta tontonan video di YouTube sebelum mencuba sendiri.

“Pada peringkat awal, saya hanya menggunakan modal kira-kira RM500 dengan memanfaatkan bahan terpakai, termasuk kayu.

“Selepas melihat hasilnya, saya mengembangkan projek itu pada 2020 dengan kos kurang daripada RM5,000.

“Apabila bersara pada 2022, saya membesarkan lagi sistem berkenaan sehingga menelan belanja sekitar RM20,000,” katanya kepada Suara Sarawak.

Berbekalkan latar belakang pendidikan pertanian ketika menuntut di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, serta pengalaman mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Yusop mempunyai asas pengetahuan yang membantu beliau menguruskan tanaman.

Antara sayur-sayuran yang pernah diusahakannya termasuklah sawi putih, kangkung, saderi, salad, pak choy dan sawi bunga sebelum memberi tumpuan kepada salad hijau jenis green coral atau lolla.

Ketika ini, beliau mengendalikan empat rak tanaman yang setiap satunya dilengkapi 14 batang paip dengan kira-kira 60 lubang penanaman.

Menggunakan paip berukuran dua dan tiga inci, beliau mampu menjual sekitar 40 bungkus salad pada setiap Sabtu dan Ahad, dengan setiap bungkus mengandungi dua pokok pada harga RM5.

“Cabaran utama bukanlah penjagaan tanaman, sebaliknya pasaran yang terhad berikutan jumlah penduduk yang kecil.

“Saya memasarkannya di sekitar pasar basah Mukah, Dalat dan Oya,” katanya.

Beliau menganggarkan perbelanjaan operasi bulanan sekitar RM300, bergantung pada keperluan semasa.

Selain menjana pendapatan, Yusop turut menjadikan pengalamannya sebagai ruang untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat.

Beliau menyertai kumpulan hidroponik di WhatsApp, termasuk Hidroponik Malaysia dan Hidroponik Borneo, selain menerima kunjungan individu yang berminat untuk mempelajari kaedah berkenaan dari Matu, Daro, Mukah dan Oya.

Walaupun masih menguruskan sistem tanaman secara manual tanpa teknologi digital, beliau terus menambah pengetahuan bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

Bagi Yusop, hidroponik mempunyai potensi untuk dikembangkan sebagai kegiatan ekonomi, khususnya dalam kalangan bakal pesara dan mereka yang mahu memanfaatkan masa serta ruang yang ada.

Beliau berharap dapat memperbesar lagi projek tanamannya pada masa hadapan, di samping menggalakkan lebih ramai masyarakat menceburi bidang itu dan berkongsi ilmu demi manfaat bersama.

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU

Ratusan rakyat Indonesia gempur kerajaan

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di tengah Jakarta pada Rabu bagi membantah kesukaran ekonomi, rasuah dan cara kerajaan mengendalikan kebakaran hutan teruk yang menyebabkan jerebu

Yusuf Mahardika Lawan Rasa Takut

Mengakui dirinya penakut, pelakon Indonesia, Yusuf Mahardika, terpaksa berfikir dua kali sebelum menerima tawaran membintangi filem seram Rambut Sewu: Satu Langkah Geth. Namun, demi mencabar