KUCHING: Seorang pesara sebuah institusi kewangan di sini lesap wang persaraan sebanyak RM800,000 akibat ditipu sindiket pelaburan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata menurut wanita warga emas berusia awal 70-an itu, dia telah tertarik dengan pelaburan ‘Digital Coin’ yang dikendalikan Syarikat Accerx di Hong Kong melalui Facebook pada September tahun lepas.
Katanya mangsa kemudian menekan satu pautan sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke dalam kumpulan Whatsapp ‘X-4 Beacon Of The Stock Market’ secara automatik.
Menjelas lanjut, beliau berkata selepas itu, mangsa berurusan dengan seorang wanita tidak dikenali yang mengatakan diri sebagai wakil Syarikat Accerx dari Hong Kong.
Katanya suspek telah memberi penerangan mengenai pelaburan mata wang kripto dan mengatakan mangsa akan memperolehi keuntungan 20 hingga 30 kali ganda apabila harga mata wang kripto melambung pada masa akan datang.
“Setelah beberapa bulan, mangsa bersetuju membeli beberapa ‘coin’ dalam nilai USD secara berperingkat dengan nama dan harga yang berbeza kerana diberitahu nilainya akan meningkat setelah diapungkan.
“Suspek juga telah memberikan ID kepada mangsa bagi membolehkannya mengakses laman sesawang www.accerxq.com untuk membuat pelaburan dan memantau keuntungan yang diperolehi.
“Mangsa kemudian melakukan empat transaksi pembayaran berjumlah RM800,000 melalui pemindahan wang secara dalam talian, mesin deposit tunai dan kaunter bank ke dua akaun bank atas nama syarikat tidak dikenali pada penghujung bulan ini atas pelbagai tujuan seperti yuran pengesahan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mancha berkata mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan berjumlah kira-kira USD5 juta.
Malah, katanya suspek meminta mangsa membuat bayaran cukai sebanyak RM1.2 juta sekiranya ingin mengeluarkan wang pelaburan dan keuntungan tersebut.
Susulan itu, beliau berkata mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.


