DALAT: Pesta Besaug Dalat 2023 yang bertemakan Je Ulo Jenaseang menjanjikan kemeriahan dengan pelbagai acara sukan air, termasuk acara pentas bermula Sabtu ini hingga Ahad.
Sebanyak 38 buah pasukan dan 66 buah perahu bidar kayu mengesahkan penyertaan perlumbaan acara sukan air berprestij tersebut.
Acara sukan air yang akan menjadi tumpuan ialah acara perahu bidar Raja Sungai yang akan menjanjikan hadiah yang lumayan.
Perlumbaan bagi merebut gelaran Raja Sungai kali ini sengit apabila disertai pemenang Raja Sungai Regata Tatau 2023 iaitu Kasihnya Warisan milik Ardyman Hendry Matan.
Sementara itu, Raja Sungai Sejijak 2023 iaitu Ribut Tropika Satu milik Hamzah Joship, Raja Sungai Pesta Bederun Balingian dan Raja Sungai Tanam turut dijangka memberikan saingan sengit.
Selain itu, terdapat juga aktiviti-aktiviti menarik seperti gerai jualan, Dalat Kitchen, Gerai Komuniti, Malam Kebudayaan, Dalat Idol, Ratu Besaug, bermukun dan pameran agensi serta persembahan pentas hiburan dijangka memeriahkan pesta.

